PETALING JAYA: Penyanyi, Kaka Azraf, dikatakan sudah bercerai kali kedua bersama suaminya, Adam Azriff, semalam.
Kaka atau Nor Atiqa binti Noor Azraff, 37, dilihat hadir Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam bagi prosiding pengesahan lafaz talak sekitar 9 pagi.
Menurut sumber Kosmo, penyanyi Gila itu memakai baju kurung berwarna krim ditemani peguam ketika hadir ke kamar mahkamah.
“Manakala suaminya pula seperti hadir bersendirian. Dia pakai kurta hijau lengkap dengan bersongkok duduk di dalam kamar sementara menunggu kes mereka dipanggil sejam kemudian.
“Apa yang saya dengar, Kaka merupakan plaintif dan suaminya defendan. Selepas kedua-duanya tampil memberikan keterangan, hakim sahkan perceraian kali kedua mereka,” katanya.
Kakak dan Adam bagaimanapun dilihat meninggalkan mahkamah dalam keadaan tenang selepas prosiding.
Utusan Malaysia berusaha mendapatkan kenyataan rasmi daripada wakil pengurusan Kaka namun masih tidak berjaya.
Terdahulu, Kaka pernah bercerai pada 28 Oktober 2024 sebelum kembali rujuk pada awal 2025z
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aslan, 7, Aryan, 5, dan Atta Adam, dua tahun. –UTUSAN




