KEMAS perkasa pendidikan kanak-kanak, gabung agama dan teknologi

 

BERA- Transformasi pendidikan awal di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) terus diperkukuh dengan menggabungkan pembentukan nilai dan agama bersama penguasaan teknologi selaras dengan keperluan generasi masa hadapan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selepas enam dekad, KEMAS perlu memasuki fasa baharu dan terus berevolusi mengikut perubahan zaman tanpa meninggalkan asas pembentukan insan.

Menurutnya, perubahan dalam ekosistem pendidikan negara termasuk penurunan umur permulaan persekolahan daripada tujuh kepada enam tahun, menjadikan pendidikan awal melalui Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS semakin penting sebagai asas sebelum kanak-kanak memasuki alam persekolahan formal.

“Saya mahu pendidikan KEMAS bergerak seiring dengan perkembangan teknologi termasuk melalui peluasan pelaksanaan Kelas Pintar dan penggunaan ‘smartboard’ di Tabika.

“Generasi hari ini membesar dalam persekitaran digital justeru pendidikan awal negara tidak boleh terpisah daripada perkembangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Warga KEMAS Negeri Pahang, di sini pada Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu terus diperkukuh bagi membantu menyediakan kemudahan teknologi, menaik taraf bangunan serta menambah baik persekitaran pembelajaran di institusi pendidikan awal Kemas.

Jelasnya, sepanjang 60 tahun penubuhannya, Taska dan Tabika Kemas telah mendidik kira-kira 8.4 juta kanak-kanak sekali gus mencerminkan sumbangan besar organisasi itu dalam pembangunan pendidikan awal di seluruh negara.

Justeru, dalam memperkukuh pendidikan berteraskan agama, beliau turut mencadangkan supaya program hafazan di Tabika Kemas diperluaskan mulai tahun hadapan.

Ujarnya, selain hafazan surah-surah dalam Juzuk 30, kanak-kanak KEMAS akan turut dibimbing menghafaz antaranya Surah Yasin, Al-Waqiah, Al-Mulk dan As-Sajdah.

Beliau juga mahu guru-guru KEMAS terlebih dahulu menguasai hafazan berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara tersusun dan berkesan.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas sokongan berterusan terhadap pembangunan KEMAS, termasuk inisiatif berkaitan hak milik dan geran tanah bagi premis Tabika dan Taska sertaperuntukan bagi kerja renovasi dan penambahbaikan premis.

Ahmad Zahid dalam pada itu menegaskan bahawa kestabilan politik, kerjasama antara semua peringkat kerajaan serta keberanian melakukan pembaharuan merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan pendidikan awal dapat diteruskan secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Beliau berkata, KEMAS bukan sahaja perlu mempertahankan legasinya, tetapi bersedia membentuk generasi baharu yang kukuh nilai dan jati diri, celik teknologi serta mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.

Sementara itu, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan kepada KEMAS memandangkan peranannya yang dekat dengan rakyat dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik dan pentadbiran merupakan asas penting yang membolehkan kerajaan negeri memperkukuh kedudukan kewangan serta mengembalikan manfaatnya kepada rakyat.

“Semakin kukuh kestabilan negeri, semakin luas ruang untuk kerajaan negeri melaksanakan bantuan, pembangunan dan kebajikan kepada pelbagailapisan masyarakat,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menyifatkan KEMAS sebagai sebuah organisasi besar yang mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti di peringkat akar umbi.

Mantan Perdana Menteri itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha kepimpinan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk terus memperkukuh KEMAS supaya kekal relevan serta mampu meneruskan khidmat kepada masyarakat.

 

 

Scroll to Top