LATEST

‘Kemungkinan besar saya akan sertai Pas’ – Razali

‘Kemungkinan besar saya akan sertai Pas’ – Razali

​KUALA TERENGGANU – Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris tidak menolak kemungkinan untuk menyertai Pas pada masa akan datang selepas menyelesaikan tugasnya dalam parti.​Beliau berkata, buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya selagi masih bergelar ahli Bersatu, manakala keputusan isterinya, Datin Nor Aizam Abu Bakar menyertai Pas tidak pernah dihalang.​”Saya kena habiskan tugas saya dalam parti saya. Selagi saya sebagai ahli, saya habiskanlah. Jadi isteri saya itu memang dia rasa hendak pergi ke Pas, biar dia pergilah.​”Suami isteri sekarang politiknya bukan macam dulu lagi. Jadi saya tidak halang dia. Biarlah dia dengan cara dia, lagipun kawan-kawannya ramai dalam Pas, jadi dia boleh berjuang bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Dan Kebudayaan (CoE) Sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 pada Selasa.Sebelum ini, pada 7 Ogos lalu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas menerajui parti itu di Terengganu selama kira-kira sedekad.​Mengulas lanjut mengenai tindakannya itu, Razali menegaskan bahawa beliau tidak menghantar surat keluar parti, sebaliknya hanya meletakkan jawatan dalam kepimpinan parti berkenaan.​Jelas beliau, status sebagai ahli biasa membolehkannya terus bersuara membela prinsip perjuangan dan menegur parti sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.Sementara itu, ​ditanya mengenai ruang serta kemungkinan beliau menyusuli langkah isterinya selepas selesai tugasan dalam Bersatu, Razali mengakui perkara itu berkemungkinan besar akan berlaku.​”InsyaALLAH, kemungkinan besarlah tu. Doakan saya sihat, saya mampu lagi untuk membantu parti dan kerajaan. Jika saya boleh berkhidmat lagi, insya-Allah saya akan ada bersama-sama dengan anda semua,” ujarnya.​Terdahulu, Nor Aizam diumumkan secara rasmi menyertai Pas pada Jumaat oleh Pengarah Program, Sheikh Mohd Hanafi Abdul Aziz sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Terengganu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Dungun.​Penyertaan Nor Aizam turut diikuti tiga lagi pemimpin sayap Srikandi Bersatu negeri itu, termasuk Ketua Srikandi Muda Negeri Terengganu, Nor Dalila Zainal Abidin.​Dua lagi individu yang mengambil langkah sama ialah Norayu Jusoh serta Wan Nirani Wan Hassan.​Difahamkan, penyertaan keempat-empat pimpinan dan ahli sayap parti itu dibuat secara sukarela untuk bersama-sama meneruskan perjuangan Pas.  

Latest news