KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengkaji cadangan pemberian pengecualian penuh cukai jualan secara berfasa bagi prime mover elektrik dan kenderaan komersial elektrik lain, kata Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong.Beliau berkata, kerajaan turut menyambut baik cadangan penyelarasan penamatan penggunaan diesel bersubsidi, bagaimanapun ia perlu diteliti dengan mengambil kira faktor lain termasuk kos tenaga elektrik dan kemudahan pengecasan.”Layanan cukai adalah salah satu instrumen dasar fiskal yang boleh membantu meringankan beban kewangan dan dalam pada masa sama merangsang pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial.”Sehubungan itu, kerajaan bersedia mengkaji cadangan ini bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi memastikan objektif yang telah ditetapkan tercapai,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang meminta kerajaan memperjelas dan memperluas pengecualian cukai jualan bagi prime mover (kepala lori) menggunakan tenaga elektrik serta kenderaan elektrik lain untuk kegunaan komersial.Chin Tong berkata, pada masa ini, tiada pengecualian cukai jualan diberikan bagi prime mover elektrik dan kenderaan komersial elektrik lain.Bagaimanapun, Belanjawan 2027 telah menyediakan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), membolehkan syarikat membeli kenderaan elektrik menuntut Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak.Kenderaan berkenaan termasuk bas, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) panel, traktor terminal, forklift, lori atau trak ringan serta kenderaan berat termasuk prime mover.”Elaun ini boleh ditolak sehingga 70 peratus daripada pendapatan berkanun,” katanya. – Bernama
Kerajaan sedia kaji pengecualian penuh cukai jualan kenderaan komersial elektrik – Timbalan Menteri
Malay News | https://www.malay.news/kerajaan-sedia-kaji-pengecualian-penuh-cukai-jualan-kenderaan-komersial-elektrik-timbalan-menteri/