nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang menyediakan padang lengkap bagi setiap zon untuk digunakan secara bersama.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, ia berikutan terdapat sekolah terutama di kawasan bandar dan kepadatan penduduk berdepan masalah ketiadaan padang sekolah.
“Isu padang adalah perkara penting, mungkin kita tidak boleh menyediakan padang di setiap sekolah sebagaimana dulu. Di kawasan luar bandar mungkin isu padang tidak berdepan masalah.
“Namun di sekolah bandar isu berkenaan timbul kerana ada bangunan tambahan yang dibina menyebabkan kita terpaksa mengorbankan kawasan padang.
“Antara strategi yang kita nampak setiap zon akan disediakan satu padang lengkap sebagai kompleks sukan yang boleh diguna secara bersama sekolah di kawasan berkenaan.
“Ini memastikan murid dan pelajar terus membangunkan potensi mereka dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Bas Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini, hari ini.
Pada masa sama katanya, KPM turut mempertimbangkan dewan terbuka bagi sekolah yang tidak mempunyai padang.
“Dengan adanya dewan terbuka pihak sekolah boleh melakukan aktiviti sukan permainan dan kokurikulum.
“Ini semua antara perancangan yang Kementerian Pendidikan lihat bagi memastikan murid serta pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
