PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM17 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (Q1FYE2026), disokong jualan belum dibil berjumlah RM1.1 bilion setakat 30 April lalu.
Pemaju hartanah itu turut mencatat hasil sebanyak RM296.5 juta bagi tempoh sama meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar susulan beberapa projek pembangunan telah mencapai peringkat siap atau hampir siap sepenuhnya.
Menurut LBS, segmen pembangunan hartanah kekal menjadi penyumbang utama hasil syarikat dengan sumbangan sebanyak 85.3 peratus daripada keseluruhan hasil, selain menyumbang keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM36.2 juta.
Pada masa sama, segmen pembinaan dan perdagangan mencatat peningkatan pendapatan lebih empat kali ganda kepada RM37.6 juta, didorong sumbangan subsidiari asing serta langkah penambahbaikan pengoptimuman kos. Segmen itu turut merekodkan PBT sebanyak RM3.1 juta.
LBS berkata, perbezaan prestasi berbanding suku sama tahun sebelumnya dipengaruhi faktor masa penyiapan projek memandangkan beberapa pembangunan telah mencapai tahap siap atau hampir siap sepenuhnya.
Kumpulan itu terus merekodkan momentum jualan memberangsangkan menerusi projek utama seperti Centrum Iris di Cameron Highlands, Alam Perdana Industrial Park dan KITA Sejati.

Pada April 2026, LBS turut melancarkan projek Idaman Cahaya 3 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM117 juta yang menjadi pelancaran terbaharu syarikat bagi FYE2026.
Sehingga 30 April 2026, LBS memiliki bank tanah seluas 3,918 ekar bagi menyokong pembangunan jangka panjang syarikat.
Menurut syarikat itu, jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion turut memberikan keterlihatan pendapatan yang positif bagi suku-suku akan datang.

LBS kini berada di peringkat persediaan lanjut untuk melaksanakan pembangunan perbandaran bersepadu di Kwasa Damansara yang disifatkan sebagai lokasi strategik bagi memperluaskan portfolio kumpulan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Datuk Seri Ir Dr Lim Hock San berkata, persekitaran operasi kekal mencabar susulan ketidaktentuan luaran berpunca daripada konflik di Timur Tengah selain tekanan kos yang berterusan terhadap industri hartanah.
“Namun begitu, prestasi Q1FYE2026 mencerminkan asas kukuh syarikat apabila kumpulan terus mencatat keuntungan di samping merekodkan momentum jualan menggalakkan menerusi projek-projek utama.
“Walaupun prestasi suku ini dipengaruhi faktor masa apabila projek berada pada tahap siap atau hampir siap sepenuhnya, jualan belum dibil sebanyak RM1.1 bilion menyumbang keterlihatan pendapatan positif bagi suku-suku akan datang,” katanya.

Beliau berkata, bersempena ulang tahun ke-65 LBS tahun ini dengan slogan ‘Bersama Membina Masa Depan’, syarikat kekal komited memperkukuh kecekapan operasi, melaksanakan pelancaran projek strategik mengikut permintaan pasaran serta mengurus kos secara berhemah.
Menurutnya, keluasan bank tanah, pelancaran projek akan datang dan persediaan aktif pembangunan di Kwasa Damansara dijangka terus menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang LBS.
“Pada masa sama, peningkatan nisbah pembayaran dividen minimum kepada 40 peratus yang berkuat kuasa mulai FYE2025 mencerminkan keyakinan lembaga pengarah terhadap kemampanan pendapatan kumpulan serta komitmen kami dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan pulangan mampan kepada pemegang saham,” katanya.




