LATEST
Current Affairs

Lichang, Tschan ungguli Ironman Malaysia 2026

Lichang, Tschan ungguli Ironman Malaysia 2026

ATLET China, Zhu Lichang dan wakil Switzerland, Chinouk Tschan mencuri tumpuan apabila masing-masing muncul juara keseluruhan kategori lelaki dan wanita pada kejohanan Ironman Malaysia 2026 di Langkawi pada Sabtu.Lichang, 41, menamatkan perlumbaan jarak penuh dengan catatan sembilan jam empat minit 24 saat (9:04:24), manakala Tschan merekodkan 10:15:31s untuk merangkul kejuaraan kategori wanita.Kejayaan itu cukup bermakna buat Lichang yang kembali ke Langkawi selepas 11 tahun, iaitu lokasi dia membuat penampilan sulung dalam acara Ironman pada 2015.”Saya sangat gembira. Langkawi merupakan lokasi pertama saya menyertai Ironman pada 2015,” katanya yang mengakui latihan intensif menjadi antara faktor kejayaan tersebut.Lichang turut menyifatkan renang sebagai disiplin paling baik dilakukannya kali ini selain membuat persediaan rapi bagi menghadapi cuaca panas di Langkawi. Dia sebelum itu menyasarkan catatan bawah sembilan jam.Tempat kedua kategori lelaki menjadi milik atlet Perancis, Laurent Marcilloux dengan masa 9:08:49s, manakala wakil Australia, Assad Attamimi melengkapkan podium menerusi catatan 9:20:03s.Sementara itu, perlumbaan wanita menyaksikan Tschan terpaksa berhempas pulas mempertahankan kedudukan sebelum menewaskan wakil Jerman, Nina Maurer dengan kelebihan hanya tiga saat.Maurer menamatkan perlumbaan dengan catatan 10:15:34s, manakala seorang lagi atlet Jerman, Jennifer Zenker berada di tempat ketiga menerusi masa 10:35:41s.Tschan, 26, mengakui tidak menyangka mampu memenangi perlumbaan itu apabila Maurer semakin menghampirinya ketika segmen larian maraton.”Saya tidak percaya mampu menang kerana Nina berlari dengan sangat pantas. Pada penghujung perlumbaan, saya pecut sehabis mungkin dan memberikan segala-galanya,” katanya.Kejayaan itu merupakan kemenangan keseluruhan pertama Tschan dalam enam penyertaan acara Ironman jarak penuh. Bekas perenang itu mula menceburi sukan triatlon pada 2023 dan turut memuji sokongan penonton sepanjang laluan perlumbaan.Dalam pada itu, atlet negara, Nazrol Hakim Che Saruji muncul pelumba lelaki tempatan terpantas apabila menamatkan cabaran dalam masa 9:57:26s, manakala Pow Chia Ling menjadi wakil wanita Malaysia terbaik dengan catatan 11:23:20s.Bagi kategori Ironman 70.3 Langkawi, atlet Australia, Jed Radbone dan wakil Jepun, Mayu Nakamura masing-masing mengungguli kategori lelaki dan wanita dengan catatan 4:04:54s serta 4:56:26s.Radbone menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna selepas terlepas peluang menjadi pelumba lelaki kumpulan umur terpantas di Langkawi tahun lalu dengan perbezaan kurang seminit.”Saya sangat gembira kerana buat pertama kali berjaya menggabungkan prestasi renang, berbasikal dan larian dengan baik. Saya memang menyasarkan catatan bawah empat jam, tetapi angin ketika larian mungkin sedikit menjejaskan masa,” katanya.Lebih membanggakan, pelumba negara, Yap Qi Yi, 20, turut mencipta kejutan apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori lelaki dengan catatan 4:22:44s, di belakang atlet New Zealand, Laurie Watson (4:21:47s). Qi Yi mengakui tidak menjangkakan keputusan itu selepas menyertai Ironman 70.3 di Vietnam minggu lalu. Dalam perkembangan lain, penganjur Ironman Group dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memeterai perjanjian lanjutan selama tiga tahun bagi memastikan kejohanan Ironman Malaysia terus berlangsung di pulau peranginan itu sehingga sekurang-kurangnya 2029.

More in Current Affairs

View all

Latest news