Luluskan kewarganegaraan rakyat China? Fitnah! Saifuddin Nasution nafi dakwaan

Luluskan kewarganegaraan rakyat China? Fitnah! Saifuddin Nasution nafi dakwaan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau memberi kewarganegaraan kepada rakyat China secara sewenang-wenangnya, sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah berniat jahat yang sengaja dimainkan bagi membakar sentimen rakyat.

Tegas beliau, semua permohonan kewarganegaraan di Malaysia diproses berpandukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang sedia ada, termasuk melalui tapisan keselamatan yang ketat dan tidak diputuskan secara sesuka hati atau untuk memenuhi agenda politik mana-mana pihak.

Saifuddin berkata, penjelasan mengenai perkara itu telah pun diberikan beberapa kali di Parlimen dan juga kepada media dengan disertakan data serta fakta yang lengkap, namun dakwaan berunsur fitnah berkenaan masih kembali ditularkan.

“Sepanjang saya memegang jawatan Menteri Dalam Negeri, saya telah menjelaskan fakta ini berserta data yang lengkap beberapa kali di Parlimen dan sesi bertemu media,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut kesal dengan penyebaran semula poster berunsur fitnah yang didakwa mengandungi elemen 3R (agama, kaum dan institusi diraja), yang kembali tular selepas penafian sama dibuat sebelum ini.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif tidak sahih serta sentiasa menyemak maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, penyebaran berita palsu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh mengancam keharmonian serta keselamatan negara sekiranya dibiarkan berleluasa.

Artikel lain: Malaysia miliki keupayaan risikan mantap, kekang ancaman ejen asing – Saifuddin Nasution

Saifuddin turut menggesa pihak tidak bertanggungjawab menghentikan segera penyebaran fitnah tersebut dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam menangani cabaran semasa termasuk isu ekonomi global yang memberi kesan kepada rakyat.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan negara, terutama ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Sumber: Saifuddin Nasution Ismail

Scroll to Top