am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain gitar legenda, Man Kidal mendedahkan dia menunggu selama 20 tahun untuk berkolaborasi dengan Raja Dangdut Indonesia, Rhoma Irama, 79, menerusi album projek khas, Man Kidal ke-45 Tahun Nusantara.
Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood, 63, berkata dia amat meminati Rhoma Irama sejak era 1970-an dan sanggup berulang-alik ke Jakarta untuk tempoh 20 tahun bagi bertemu dengan penyanyi legenda terbabit.
Menurutnya, kumpulan Lefthanded juga banyak menyanyikan lagu-lagu genre dangdut beliau, tetapi diberi sentuhan rock.
“Perjalanan muzik Rhoma walaupun dangdut, tapi ada elemen dakwah sebab itu Lefthanded juga ada lagu berjudul Seruan.
“Memang impian saya nak buat satu album dengan Rhoma. Disebabkan itu saya sanggup ulang-alik ke Jakarta selama 20 tahun untuk merapatkan hubungan dengannya.
“Selepas empat kali tidak menjadi projek kolaborasi muzik menghimpunkan artis dan pemuzik dari Malaysia dan Indonesia akhirnya kesampaian pada tahun ini,” katanya.
Man Kidal berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam eksklusif nusantara anjuran Keedal Entertainment bersama Rhoma Irama dan Soneta Group, di sini.
Katanya, dia meluahkan rasa syukur apabila penyanyi lagu Begadang dan Darah Muda itu akhirnya bersetuju untuk projek kolaborasi album yang juga gabungan dua negara serumpun berkenaan.
“Selepas buat segala persiapan dari segi undang-undang dan sebagainya, saya berkunjung ke Jakarta pada bulan lalu dan Rhoma bersetuju untuk terbabit dalam projek album berkenaan.
“Rhoma juga beritahu dia mahu kami adakan majlis makan malam dan siapkan kontrak untuk projek itu.
“Saya mahu ucapkan terima kasih kepada Rhoma sebab sudi bekerjasama dalam projek ini. Insya-Allah, saya harap silaturrahim ini akan berkekalan,” katanya.
Katanya, dia berharap album projek itu akan menjadi inspirasi kepada generasi baharu serta membuka lebih banyak ruang kerjasama muzik nusantara.
Sementara itu, kata Man Kidal, proses rakaman album yang memuatkan enam lagu itu akan berlangsung di ibu negara dan Jakarta serta dijangka dilancarkan pada 7 November tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd

