MATTA, BASE Malaysia perkasa pelancongan pengembaraan negara

MATTA, BASE Malaysia perkasa pelancongan pengembaraan negara
MATTA, BASE Malaysia perkasa pelancongan pengembaraan negara

Kerjasama MATTA dan BASE Malaysia bertujuan memperkasa pelancongan pengembaraan negara serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama sukan ekstrem bertaraf antarabangsa.

PERSATUAN Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama BASE Malaysia bagi memperkasa pelancongan pengembaraan negara sempena MATTA Fair April 2026.

Presidennya, Nigel Wong berkata, kerjasama ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pengembaraan dengan memanfaatkan rangkaian luas MATTA serta kepakaran BASE Malaysia dalam sukan ekstrem.

“Menerusi kolaborasi tersebut, kedua-dua pihak akan bekerjasama menganjurkan dan mempromosikan beberapa acara utama pelancongan dan pengembaraan yang dijadualkan berlangsung pada Ogos dan September 2026.

“Antara acara yang menjadi tumpuan ialah World Base Cup 2026 yang bakal diadakan di Menara 118 selain Bazar MATTA di Stadium Merdeka yang dianjurkan bersempena program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Nigel Wong (kiri) dan Dann Lee Chee Seong (kanan) ketika menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan BASE Malaysia.

Nigel Wong (kiri) dan Dann Lee Chee Seong (kanan) ketika menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MATTA dan BASE Malaysia.

Tambahnya, inisiatif ini turut menekankan aspek keselamatan, tanggungjawab serta kelestarian dalam pembangunan pelancongan pengembaraan di samping meningkatkan keterlihatan Malaysia dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen persatuan dalam memperluaskan segmen pelancongan negara selari dengan peningkatan minat global terhadap aktiviti pengembaraan.

“MATTA berhasrat menghasilkan pengalaman pelancongan yang lebih berimpak, sekali gus menarik segmen pelancong baharu tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kelestarian termasuk menerusi penganjuran Bazar MATTA oleh MATTA Kuala Lumpur Chapter,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden BASE Malaysia, Dann Lee Chee Seong menyambut baik kerjasama berkenaan dan menyifatkannya sebagai peluang untuk membawa acara terjunan BASE bertaraf dunia ke Malaysia.

“Usaha tersebut bukan sahaja berpotensi menonjolkan lokasi ikonik negara, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama pelancongan pengembaraan di peringkat antarabangsa.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan usaha promosi bersama merangkumi kempen pemasaran, penglibatan di media sosial dan liputan media bagi meningkatkan kesedaran serta penyertaan dalam acara yang bakal dianjurkan,” katanya.

MoU yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 itu mencerminkan visi bersama dalam memacu inovasi serta pertumbuhan industri pelancongan negara khususnya dalam segmen pelancongan pengembaraan.

Scroll to Top