rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuat laporan polis susulan dakwaan kebocoran maklumat mengenai pertukaran pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan nama dan jawatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, laporan polis dibuat dan siasatan dalaman sudah dimulakan selepas maklumat itu didedahkan kepada umum sebelum pelantikan jawatan tertinggi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Keputusan pelantikan ke jawatan tertinggi dalam ATM perlu terlebih dahulu dibincangkan di Majlis Angkatan Tentera, yang berperanan mengemukakan syor kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Bagi setiap jawatan yang dibincangkan, dua atau tiga nama akan disyorkan, bukannya satu nama sahaja. Namun, apa yang tular kepada umum hanya menyebut satu nama, sekali gus memberi gambaran seolah-olah keputusan sudah dibuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci SASaR Residensi Sateria, Sungai Besi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pendedahan maklumat itu yang belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah tidak wajar.
Katanya, pendedahan nama, jawatan dan pergerakan pegawai kanan menimbulkan risiko keselamatan kerana maklumat itu tidak pernah didedahkan kepada umum kerana sensitif.
“ATM tidak mendedahkan siapa yang memerintah kem tertentu, siapa yang bertanggungjawab ke atas logistik atau unit artileri atau peranan operasi pegawai kanan kerana ia mendedahkan butiran keselamatan yang kritikal.
“Semua ini adalah isu keselamatan. Mendedahkan siapa mereka, jawatan yang mereka pegang dan pergerakan mereka membuka risiko luar,” katanya.
Semalam, MINDEF memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati menyebarkan maklumat sulit atau dalaman kerajaan di media sosial.
From: Aina
© New Straits Times Press (M) Bhd




