Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta

Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta

KUALA LUMPUR – Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Keputusan drastik itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan hari ini bagi membincangkan hala tuju parti mendepani fasa politik baharu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.

Menurut beliau, mesyuarat turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah mengenai kerjasama politik parti itu atas prinsip penyatuan ummah.

“Susulan keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu, Pas kini akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang baharu demi penyatuan ummah.

“Langkah ini adalah sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyatakan bahawa Pas bersikap terbuka untuk menerima hasrat daripada pelbagai tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, serta aktivis masyarakat yang mahu menyertai parti berkenaan.

Keputusan luar jangkaan ini dipercayai bakal mengubah keseluruhan dinamika politik pembangkang, memandangkan Pas dan Bersatu merupakan dua tunjang utama yang membentuk koalisi Perikatan Nasional (PN) sejak tahun 2020.

Penganalisis politik sebelum ini melihat bibit-bibit pergolakan dalam PN mula dikesan susulan perbezaan pandangan membabitkan beberapa isu pimpinan, selain tindakan beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan sebelum ini, yang sedikit sebanyak mencalar imej setiakawan gabungan itu.

Malah, desas-desus mengenai keresahan akar umbi Pas yang merasakan parti itu “membawa bebanan lebih besar” dalam memenangi kerusi berbanding Bersatu pada pilihan raya lalu, turut dikatakan menjadi antara faktor penilaian semula ini dilakukan.

Sebelum mengukuhkan rantaian politik bersama Bersatu, Pas pernah membentuk gagasan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO pada 2019, namun piagam itu berkubur selepas Pas memilih untuk mendaftarkan PN bersama Bersatu bagi menghadapi PRU15.

Tindakan Pas ‘bercerai’ dengan Bersatu malam ini pastinya meletakkan Bersatu dalam posisi sukar, sementara Pas kelihatan bersedia mengatur langkah solo yang lebih dominan menjelang PRU16.

 

 

Scroll to Top