Madrid: Pasukan berbasikal NSN Development menarik diri daripada baki perlumbaan Tour of Portugal, sehari selepas pelumba Britain berusia 19 tahun, Finlay Tarling maut dalam kemalangan ketika perlumbaan itu.
Tarling yang juga adik kepada pelumba Ineos, Josh Tarling terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan tidak mempunyai kaitan dengan perlumbaan berkenaan.
“Susulan pemergian tragik Fin Tarling, NSN Development Team menarik diri daripada baki peringkat Volta a Portugal.
“Dengan sokongan penuh daripada ibu bapa Fin, pasukan World Tour akan meneruskan saingan di Czech Tour dan Arctic Race of Norway.
“Kami akan terus menyimpan Fin dalam hati ketika berlumba sebagai penghormatan kepadanya, melakukan perkara yang paling dicintainya,” kata NSN dalam kenyataan.
Peringkat kelapan perlumbaan terpaksa dihentikan kira-kira 20 kilometer (km) sebelum tamat, manakala upacara podium turut dibatalkan sebagai tanda hormat dan berkabung.
Perlumbaan bersambung semula dengan pendahulu keseluruhan, Alex Guerin mengenakan jersi hitam, manakala semua pelumba memakai lilitan hitam di lengan pada peringkat kesembilan.
“Peringkat kesembilan Volta a Portugal bermula dalam suasana berkabung.
“Sebelum permulaan simbolik, acara bertafakur selama seminit diadakan bagi mengenang Finlay Tarling,” kata penganjur menerusi media sosial.
Penganjur turut memaklumkan beberapa penaja membatalkan aktiviti yang dirancang pada hujung minggu ini sebagai tanda penghormatan.
“Perlumbaan diteruskan. Akan ada persaingan sukan tetapi bukan pesta.
“Sabtu ini, Tour berbasikal untuk Finlay,” kata mereka dalam kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Pengawal Republikan Kebangsaan Portugal, Carlos Canatario berkata pihaknya sedang menyiasat papan tanda di kawasan kejadian termasuk kemungkinan ada papan tanda yang dialihkan.
“Malangnya, kami tidak mempunyai kapasiti untuk menempatkan anggota di semua laluan masuk sepanjang jarak berkenaan, dengan kata lain ia mustahil dilakukan dari segi kemampuan manusia.
“Kenderaan itu tidak berada di laluan yang salah. Ia berada di lorong sebelah kanan dan bergerak dari arah bertentangan dengan perlumbaan.
“Pelumba memotong selekoh seperti yang biasa dilakukan pelumba basikal, menggunakan lorong lebih ke kiri dan keadaan itu menyebabkan pelumba serta kenderaan berlanggar,” katanya kepada saluran televisyen awam RTP.
© New Straits Times Press (M) Bhd

