am@hmetro.com.my
Pendang: Berkat kerjasama dan disiplin yang tinggi ketika menjalani latihan membuahkan hasil apabila pasukan dram dari Pendang Youth Tiger, Sekolah Kebangsaan (SK) Pendang muncul juara dua tahun berturut-turut dalam Kejohanan Seni Persembahan Kawad Berirama Peringkat Antarabangsa (Marching Art) MIMAC 2026 di Johor Bahru, baru-baru ini.
Pasukan yang dianggotai 21 murid tahun empat hingga enam itu membuktikan komitmen tinggi yang ditunjukkan mereka membuahkan hasil dan merangkul juara dalam kategori ‘Drummers Face Off Junior Divisyen’.
Jurulatih, Mohamad Zubir Haron yang juga guru muzik sekolah itu mengakui, pasukan Pendang Youth Tiger yang ditubuhkan sejak tahun 2023 kini menjadi antara kekuatan Muzik Marching di sekolah berkenaan.
Beliau berkata, sejak Oktober tahun lalu, pasukan ini menjalani latihan secara berterusan dan berkala iaitu sekitar dua jam sehari setiap petang.
“Kita amat terapkan nilai disiplin yang tinggi malah dari segi latihan kemahiran yang berterusan membuatkan murid-murid ini dapat teruskan apa saja bentuk atau rentak melodi yang kita cuba lakukan.
“Walaupun pasukan ini datang dari sekolah luar bandar namun ia tidak menjadi penghalang buat mereka untuk berdiri sama tinggi dengan pasukan lain yang lebih berpengalaman.
“Kami bersyukur kerana dapat mempertahankan juara dua tahun berturut-turut dalam MIMAC 2026 di Johor Bahru baru-baru ini, ” katanya.
Kapten pasukan itu, Muhammad Ammar Fathi Md Fuad, 12, berkata, pengalaman tahun lepas memenangi acara sama memberi nafas baru buatnya untuk menang tahun ini.
“Tahun lepas saya ingat kalah tiba-tiba juri umumkan menang dan tahun ini pula kami dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori ‘Divisi Junior’ dan rasa sangat gembira sebab boleh mewakili sekolah dan negeri.
“Tahun ini rasa takut ada juga tapi kurang sikit berbanding tahun lepas malah saya sebagai ketua turut menegur rakan-rakan supaya sentiasa menjaga disiplin dan datang awal untuk berlatih melalui kumpulan kumpulan WhatsApp.
“Kami hanya datang berlatih di sekolah lepas sesi persekolahan tamat dan saya serta rakan-rakan berhasrat untuk ke luar negara untuk menempa kejayaan mewakili negara pula,” katanya.
Muhammad Syahid Mohd Sharidzun, 11, berkata, pengalamannya menyertai pasukan selama dua tahun sangat menyeronokkan dan berhasrat untuk terus berjaya ke peringkat dunia.
Sementara itu, Guru Besar SK Pendang, Zainudin Hamid memuji komitmen ibu bapa murid yang terbabit dalam pasukan muzik itu yang sanggup meluangkan masa, tenaga dan melalui pelbagai keadaan demi memastikan anak-anak mereka hadir menjalani latihan secara konsisten.
“Kita tengok waris pun beri semangat… siang malam hantar anak mereka ke sekolah untuk menjalani latihan dan saya pun terkejut juga dengan komitmen waris yang sentiasa sokong tak kira hujan atau panas malah pada waktu malam mereka sentiasa datang menyokong dan menghantar anak mereka menjalani latihan yang begitu padat setiap hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

