Pegawai Olimpik Croatia ditahan, siasatan rasuah semakin meluas

Pegawai Olimpik Croatia ditahan, siasatan rasuah semakin meluas

Zagreb: Seorang pegawai Jawatankuasa Olimpik Croatia ditahan pihak berkuasa hari ini ketika siasatan terhadap skandal rasuah yang dikaitkan dengan Persekutuan Ski Croatia terus melebar.

Menurut laporan media tempatan, pengarah program Olimpik jawatankuasa itu, Damir Segota, bersama isterinya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana awam.

Agensi berita milik kerajaan, HINA melaporkan pejabat Segota turut digeledah, selain pejabat Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Croatia, Sinisa Krajac.

Pejabat Pendakwa Raya Pencegahan Rasuah Croatia mengesahkan operasi tangkapan dan serbuan dijalankan, namun tidak mendedahkan identiti individu yang terbabit.

Menurut media tempatan, Segota disyaki menerima rasuah sebagai balasan meluluskan penyaluran dana Olimpik kepada Persekutuan Ski Croatia secara tidak sah.

Jawatankuasa Olimpik Croatia dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Badan itu turut menjelaskan Krajac hanya dipanggil sebagai saksi dan tidak berdepan sebarang pertuduhan jenayah setakat ini.

Kes berkenaan berkait rapat dengan siasatan yang dilancarkan pada Mac lalu terhadap enam individu, termasuk bekas pengarah ski alpine Croatia, Vedran Pavlek.

Pavlek yang kini berada di Kazakhstan didakwa mengetuai sindiket yang menyeleweng hampir 30 juta euro (kira-kira RM152 juta) daripada dana Persekutuan Ski Croatia, dengan pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkan ekstradisinya.

Skandal itu sebelum ini membawa kepada peletakan jawatan Presiden Jawatankuasa Olimpik Croatia, Zlatko Matesa, bagi memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara telus.

Pavlek sebelum ini dikenali sebagai individu yang memimpin era kegemilangan ski Croatia apabila atlet adik beradik Janica dan Ivica Kostelic menghadiahkan 10 pingat Olimpik buat negara itu.

Menteri Sukan Croatia, Tonci Glavina, menegaskan semua pihak yang didapati bersalah perlu dikenakan tindakan.

“Adalah menjadi kepentingan kami untuk memastikan segala dakwaan disiasat secara menyeluruh dan mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top