RAMALLAH – Pelampau Yahudi kembali membuat onar lagi apabila ia melakukan perbuatan vandalisme ke atas dua buah masjid di Tebing Barat.
Menurut agensi berita WAFA, serangan itu berlaku awal pagi Ahad terhadap sebuah masjid di kampung Kur, Tulkarm dan sebuah lagi yang sedang dalam pembinaan di bandar Qusra, Nablus.
“Puak itu turut bertindak biadab menconteng slogan rasisme pada dinding masjid berkenaan,” jelas laporan itu.
Datuk Bandar Qusra, Abdel Azim Wadi berkata, serangan terhadap masjid di kawasan itu menyebabkan bahan kayu dan peralatan pembinaan terbakar.
Sementara itu, saksi kejadian di Kur memberitahu penduduk setempat bertindak segera mengawal api yang telah memusnahkan sebahagian struktur masjid yang menjadi sasaran kempen sistematik ekstremis Yahudi.
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin dalam satu kenyataan mengecam serangan terhadap masjid di Kur sebagai ‘jenayah serius’ dan menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap norma serta konvensyen antarabangsa yang menjamin kebebasan beribadah serta perlindungan tempat suci.
“Komuniti antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia wajar mengambil tindakan segera bagi menghentikan serangan sedemikian serta mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” tegas kementerian itu lagi.
Sejak Perang Gaza meletus pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,182 penduduk Palestin di Tebing Barat menjadi mangsa tindakan keganasan pelampau Yahudi dan rejim Zionis selain kira-kira 24,000 ditahan di luar bidang kuasa undang-undang. – Agensi



