‘Peletakan jawatan urusan peribadi, tiada kaitan isu parti’ – Pemangku Ketua Pemuda Pas Terengganu

KUALA TERENGGANU – Peletakan jawatan Muhamad Hamdi Harun sebagai Ketua Pemuda Pas Terengganu lebih kepada urusan peribadi dan tidak melibatkan sebarang isu parti.

Pemangku Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyatakan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini sudah memadai untuk menjelaskan situasi berkenaan.

“Peletakan jawatan beliau lebih kepada urusan peribadi… Kita pun tidak tahu secara terperinci,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Terdahulu, Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT) menerusi mesyuarat khas mengumumkan pelantikan barisan kepimpinan pemangku baharu berikutan peletakan jawatan Muhamad Hamdi sebagai Ketua Pemuda.

Setiausaha DPPNT, Mohd Riduan Abu Bakar berkata, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja DPPNT yang diadakan pada Rabu lalu sebulat suara menerima peletakan jawatan tersebut.

Jelasnya, susulan kekosongan itu, mesyuarat bersetuju melantik Mohd Fadhli Rahmi sebagai Pemangku Ketua Pemuda bagi sesi 2026–2027.

Selain itu, barisan kepimpinan utama turut diisi oleh Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin sebagai Pemangku Timbalan Ketua dan Abdul Manaff Ghani sebagai Pemangku Naib Ketua.

Scroll to Top