Penggunaan AI bantu Perkeso kesan penipuan tuntutan Daya Kerjaya 2.0

Penggunaan AI bantu Perkeso kesan penipuan tuntutan Daya Kerjaya 2.0

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya mengesan penipuan membabitkan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai RM9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz berkata, pengesanan awal itu dilakukan menerusi analisis dan pemeriksaan oleh Bahagian Anti-Fraud Perkeso menggunakan sistem AI dalaman yang bermula pada 2024.

Katanya, hasil analisis berkenaan membawa kepada penemuan beberapa maklumat yang disyaki mempunyai unsur penipuan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut pada Ogos 2025.

“Operasi ini dimulakan dengan penilaian dan pemeriksaan oleh Bahagian Anti-Fraud Perkeso yang bermula pada hujung tahun 2024 menggunakan AI dalam sistem dalaman Perkeso.

“Beberapa maklumat yang kita dapati dan anggap sebagai fraud telah diserahkan kepada SPRM untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, Azirruan Arifin.

Mohammed Azman berkata, tindakan pantas hasil pengesanan awal menggunakan AI itu berjaya menyelamatkan kira-kira RM5.33 juta daripada terus dibayar kepada pihak terbabit.

“Sebanyak RM1.26 juta yang sudah dibayar sebelum ini turut berjaya dikembalikan kepada Perkeso selepas tindakan penguatkuasaan diambil terhadap majikan terbabit.

“Penipuan itu dikesan menerusi pemantauan terhadap program Daya Kerjaya yang menyediakan subsidi penggajian kepada golongan rentan termasuk orang kurang upaya (OKU), individu parol serta wanita yang kembali memasuki pasaran pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rekod, syarikat terbabit memenuhi syarat program termasuk berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan membuat caruman Perkeso, menyebabkan pembayaran subsidi diteruskan seperti biasa.

“Namun, antara petunjuk yang kita kesan ialah pekerja diberhentikan sebaik sahaja tempoh subsidi enam bulan tamat.

“Apabila terdapat corak sedemikian, kita turun padang menjalankan siasatan dan turut menerima maklumat daripada pemberi maklumat sebelum mengesahkan wujud unsur penipuan,” katanya.

Mohammed Azman berkata, Perkeso kini sedang menambah baik sistem sedia ada termasuk menutup sebarang ruang atau kelemahan yang boleh dimanipulasi bagi mengelakkan ketirisan dana kerajaan pada masa depan.

Sementara itu, Abd Halim berkata, operasi ini berjaya membanteras ketirisan dana kerajaan dan meningkatkan integriti pengurusan Program Daya Kerjaya 2.0.

“Selain itu ia dapat memperkukuhkan tadbir urus dan mengembalikan keyakinan awam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top