am@hmetro.com.my
Kuantan :Seramai 98 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 atau 5.45 peratus mendapat pencapaian terbaik Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 di Pahang berbanding 82 calon atau 4.01 peratus pada 2024.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Pahang, Yusof Kassim berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh, Temerloh menerima Anugerah Khas Negeri STPM 2025 kerana melahirkan calon yang mendapat PNGK 4.00 paling ramai iaitu 11 orang.
Bagi prestasi STPM 2025 katanya, seramai 1,059 calon atau 58.74 peratus memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 3.00 berbanding 1,142 calon atau 55.90 peratus pada 2024.
“Pada 2025, seramai 1,903 calon sekolah kerajaan mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM berbanding 2,089 calon pada 2024.
“Daripada 1,903 calon, seramai 1,803 calon hadir menduduki peperiksaan dengan peratus kehadiran menurun sebanyak 94.75 peratus berbanding 2024 sebanyak 97.80 peratus,” katanya pada sidang media pengumuman peperiksaan STPM 2025 Pahang di JPN Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) Pahang meningkat 3.09 pada 2025 meletakkan Pahang berada di landasan yang betul untuk terus mencapai kejayaan dalam peperiksaan STPM.
Katanya, keputusan cemerlang itu diharap menjadi dorongan kepada pelajar lepasan SPM untuk meneruskan pembelajaran di Tingkatan Enam sebagai pilihan utama laluan mereka sebelum melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
“Bagi calon yang akan menduduki peperiksaan STPM 2026, diharap kejayaan calon STPM 2025 akan membangkitkan semangat dan motivasi untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




