Piala Dunia 2026: Lukaku ubah permainan, Mesir hampir malukan Belgium

Piala Dunia 2026: Lukaku ubah permainan, Mesir hampir malukan Belgium

Seattle: Belgium bernasib baik apabila terselamat daripada kekalahan mengejut selepas terikat 1-1 dengan Mesir dalam aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026 di Seattle Stadium, awal pagi tadi.

Mesir yang menghuni ranking ke-29 dunia hampir mencipta sensasi dengan menewaskan Belgium yang berada di tangga kesembilan dunia, namun kemasukan Romelu Lukaku pada babak kedua mengubah nasib Red Devils.

Bintang Liverpool, Mohamed Salah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-34 diberikan peranan lebih tengah oleh pengendali Mesir, Hossam Hassan dan percaturan itu nyata menjadi.

Mesir mendahului pada minit ke-20 menerusi Emam Ashour yang meledak gol antarabangsa pertamanya hasil rembatan padu dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.

Gol itu hadir selepas Salah bijak melorongkan bola kepada Ashour di hadapan kawasan penalti sebelum pemain tengah itu menggunakan sentuhan pertama untuk membuka ruang sebelum melepaskan rembatan tepat ke penjuru bawah gawang.

Ia adalah gol pertama Ashour dalam penampilan ke-30 bersama Mesir.

Mesir hampir menggandakan kelebihan apabila Courtois terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan Mostafa Zico pada minit ke-33, manakala Belgium pula gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke arah gawang Mostafa Shobeir sepanjang babak pertama walaupun mencipta lapan percubaan.

Belgium tampil lebih agresif selepas rehat dengan Salah hampir menambah jaringan menerusi tandukan pada minit ke-55, namun sekali lagi Courtois bertindak cemerlang.

Menyedari pasukannya ketandusan idea, Belgium memasukkan Lukaku pada minit ke-66 dan penyerang Napoli itu terus memberikan impak.

Hanya 28 saat selepas dimasukkan, Lukaku memaksa Mohamed Hany menjaringkan gol sendiri ketika cuba mengeluarkan bola hasil hantaran lintang Thomas Meunier, sekali gus menyamakan kedudukan buat Belgium.

Salah kemudiannya dikeluarkan pada minit ke-75 ketika Mesir cuba mempertahankan satu mata berharga.

Walaupun gagal meraih kemenangan pertama dalam penampilan keempat mereka di Piala Dunia, Mesir tetap boleh berbangga apabila berjaya memberikan tentangan hebat dan hampir memalukan antara pasukan pilihan kejohanan itu.

Bagi Belgium pula, keputusan itu menjadi amaran awal bahawa reputasi semata mata tidak cukup untuk menjamin kemenangan di pentas terbesar bola sepak dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top