Vancouver: Kanada masih belum dapat memastikan khidmat tonggak utama mereka, Alphonso Davies, menjelang aksi penting menentang Qatar dalam saingan Kumpulan B Piala Dunia 2026.
Pemain Bayern Munich berusia 25 tahun itu dilihat menjalani latihan di Pusat Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan Kanada pada Isnin, namun tidak menyertai keseluruhan sesi kerana masih mengikuti protokol pemulihan kecederaan hamstring.
Kanada yang seri 1-1 dengan Bosnia dan Herzegovina dalam aksi pembukaan di Toronto kini berpindah ke Vancouver untuk mengharungi dua baki perlawanan peringkat kumpulan.
Seorang pegawai pasukan mengesahkan Davies masih belum menyertai latihan penuh menjelang pertemuan dengan Qatar pada Khamis.
“Dia adalah antara pemain terbaik dalam pasukan kami. Dia pemain bertaraf dunia, jadi sudah tentu kehadirannya dalam kesebelasan utama amat kami harapkan.
“Tetapi kami mempunyai keyakinan penuh terhadap semua pemain dalam skuad ini. Sesiapa sahaja yang diturunkan mampu menjalankan tugas dengan baik,” kata pertahanan Kanada, Joel Waterman.
Situasi Davies pastinya menjadi perhatian penyokong tuan rumah bersama itu memandangkan kepantasan dan pengaruhnya sering menjadi pemangkin utama corak permainan Kanada.
Menjelang aksi kedua Kumpulan B pada 18 Jun, keempat-empat pasukan masih terikat dengan satu mata selepas masing-masing mencatat keputusan seri dalam perlawanan pembukaan.
Kanada, Qatar, Bosnia dan Herzegovina serta Switzerland turut mempunyai satu gol dijaringkan dan satu gol dibolosi.
Switzerland dijadual bertemu Bosnia dan Herzegovina di Los Angeles sebelum Kanada melayan cabaran Qatar di Vancouver dalam perlawanan yang boleh menentukan nasib kedua-dua pasukan untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




