LATEST

Premium tanah KLSCAH RM1,000: Jangan alih isu, jawab persoalan sebenar

Premium tanah KLSCAH RM1,000: Jangan alih isu, jawab persoalan sebenar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sepatutnya menjawab persoalan utama berhubung isu pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada RM4.67 juta kepada RM1,000, bukannya mengaitkannya dengan perkara lain yang tidak mempunyai kaitan langsung.Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, persoalan yang dibangkitkan adalah mudah, iaitu bagaimana pengiraan dan kriteria ditetapkan sehingga KLSCAH memperoleh keistimewaan pembayaran premium tanah sebanyak RM1,000.Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, jawapan Hannah dilihat meleret dengan mengaitkan isu berkenaan dengan perkara lain termasuk beg pasir, bazar Ramadan dan kolam takungan.”Ini bukan isu rasis. Kita mahu mencari keadilan untuk semua bangsa. Rakyat mahu tahu bagaimana keistimewaan ini boleh turut dipraktikkan dan diberikan kepada NGO Melayu, India, Sikh serta kaum lain yang mempunyai kriteria sama seperti KLSCAH.”Bangunan Rumah Kelab VIOBA, sebagai contoh, juga perlu dilihat dari sudut kriteria dan layanan yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.Gulam menegaskan bahawa UMNO dan Pas mempunyai hak untuk memainkan peranan sebagai pihak semak dan imbang terhadap dasar serta tindakan kerajaan, termasuk membangkitkan persoalan berhubung keputusan yang melibatkan kepentingan awam.Beliau turut mempersoalkan mengapa Hannah dilihat tidak memberikan reaksi sama terhadap kritikan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok mengenai projek perumahan Madani yang dikaitkan dengan pembangunan kira-kira 17,000 unit rumah di kawasan kejiranan Bukit Jalil.”Kenapa tidak melenting apabila Teresa Kok mempertikaikan isu itu? Adakah kerana beliau daripada DAP? Apabila UMNO dan Pas membangkitkan isu, tuduhan rasis pula muncul. Ini nampak seperti double standard,” katanya.Dalam pada itu, Gulam mengingatkan Hannah bahawa bangunan KLSCAH diwartakan sebagai bangunan warisan pada 2007, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), bukannya ketika DAP memerintah.Beliau berkata, sepanjang pentadbiran BN sehingga 2018, tiada keperluan untuk menukar status kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi kerana bangunan berkenaan sudah mempunyai status warisan dan nilai sejarah yang dilindungi di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.”Zoning dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 juga perlu dirujuk bagi menjelaskan kedudukan sebenar bangunan berkenaan.”Tidak perlu berbelit-belit untuk menghalalkan tindakan. Rakyat hanya mahu penjelasan yang mudah, tepat dan telus mengenai bagaimana premium RM4.67 juta boleh dikurangkan kepada RM1,000,” katanya. 

Latest news