PRU16: Berhenti ‘racun’ minda, ‘perkudakan’ anak muda – Srikandi Keadilan

PRU16: Berhenti ‘racun’ minda, ‘perkudakan’ anak muda – Srikandi Keadilan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta menghentikan tindakan yang didakwa meracuni pemikiran anak muda menerusi naratif kononnya berlaku kerosakan sistem yang melampau dalam negara.

Ketua Srikandi Keadilan, Nurhidayah Che Rose berkata, jika Rafizi benar-benar prihatin terhadap nasib golongan muda, beliau perlu menjelaskan inisiatif ekonomi yang pernah diperkenalkan, termasuk peluang pekerjaan dan program yang berjaya diwujudkan untuk membantu anak muda.

Menurutnya, Rafizi dilihat cuba meraih sokongan generasi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan memainkan sentimen tertentu dan mendakwa sistem negara telah rosak.

“Demi mendapatkan undi dan sokongan anak muda, beliau cuba memutarbelitkan fakta dengan mendakwa sistem telah rosak.

“Sedangkan kami dalam PKR mengetahui bahawa ketika berada dalam parti, beliau turut menjanjikan pelbagai perkara kepada anak muda seperti isu gaji minimum dan harga kereta Myvi yang lebih murah, selain mengajar politik fitnah serta adu domba,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, menerusi satu podcast, Rafizi dilaporkan berkata, apabila satu generasi muda mula mempersoalkan mengapa mereka perlu terus bersusah payah berusaha, ia bukan petanda generasi itu rosak, sebaliknya menunjukkan sistem yang telah rosak.

Beliau turut berpandangan bahawa generasi muda hari ini sering dilabel sebagai malas, lembik dan manja, namun beliau tidak bersetuju dengan tanggapan tersebut.

Menurut Rafizi, keadaan ketika ini menyaksikan seseorang boleh bekerja sehingga 18 jam sehari, namun kehidupan mereka hampir tidak berubah, manakala kurang satu peratus daripada penduduk berjaya meningkatkan taraf hidup ke kelas yang lebih tinggi dan selebihnya hanya bekerja sekadar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa persoalan yang dibangkitkan oleh anak muda mengenai masa depan mereka membuktikan sistem negara telah rosak.

Katanya, rakyat berhak mengetahui sejauh mana keberkesanan program dan dasar ekonomi yang pernah diperkenalkan bagi meningkatkan pendapatan, memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh kedudukan ekonomi golongan muda.

“Lebih penting, apakah hasil dan impak yang telah berjaya dicapai melalui usaha-usaha tersebut?

“Anak muda tidak memerlukan naratif yang menggambarkan sistem sebagai telah rosak. Sebaliknya, kami memerlukan penyelesaian yang praktikal, peluang yang lebih luas serta dasar yang berkesan untuk menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa seseorang pemimpin perlu dinilai berdasarkan rekod pencapaian, keberkesanan dasar dan hasil yang dibawa kepada rakyat, bukannya semata-mata melalui retorik politik.

 

 

Scroll to Top