Reformasi perlu jamin kebebasan akademik

Reformasi perlu jamin kebebasan akademik

PENGUMUMAN kerajaan pada 15 Ogos lalu mengenai hasrat memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, diikuti keputusan Jemaah Menteri pada 19 Ogos untuk membangunkan kerangka Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA), membuka ruang untuk menilai semula undang-undang berkaitan universiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi pegawai universiti awam yang tertakluk kepada Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605], kebebasan akademik turut dipengaruhi oleh peraturan tatatertib berkaitan pernyataan awam.

Akta 605 bukan undang-undang khusus universiti, sebaliknya mengawal tatatertib dan surcaj pegawai badan berkanun tertentu.

Dalam konteks ini, Peraturan 18 Jadual Kedua menjadi penting kerana subperaturan 18(1) melarang pernyataan awam yang boleh memudaratkan dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan, memalukan institusi atau kerajaan atau mengulas kelemahan dasar, rancangan atau keputusan berkenaan.

Larangan ini menjadikan reformasi Akta 605 sebahagian daripada agenda yang perlu diberi perhatian.

Subperaturan 18(1), 18(2) dan 18(4) pula perlu dibaca secara bersepadu. Subperaturan 18(1) menetapkan larangan substantif, manakala 18(2) membenarkan menteri memberikan kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, bagi kategori ulasan, maklumat dan penjelasan yang dinyatakan.

Subperaturan 18(4) pula mentakrifkan ‘pernyataan awam’ sebagai termasuk kenyataan kepada akhbar atau orang ramai, syarahan, ucapan, penyiaran dan penerbitan.

Kedudukan ini perlu dibaca bersama Surat Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Bilangan 1 Tahun 2025.

Pekeliling itu menyatakan Menteri Pendidikan Tinggi memberikan kebenaran secara am kepada kategori kakitangan akademik universiti awam untuk membuat pernyataan tertentu di bawah subperaturan 18(2), termasuk menyampaikan hasil penyelidikan, membincangkan isu semasa dan memberikan ulasan profesional dalam bidang kepakaran.

Namun, kuasa pentadbiran melalui pekeliling tidak boleh memperluas skop 18(2) sehingga menafikan larangan berasingan dalam 18(1). Sesuatu instrumen pentadbiran mesti kekal dalam sempadan kuasa yang diberikan oleh undang-undang.

Persoalan berhubung Pekeliling 2025 bukan semata-mata siapa yang menandatangani dokumen. Isu sebenarnya ialah sama ada keputusan substantif untuk memberikan kebenaran secara am benar-benar dibuat oleh menteri, manakala KSU hanya menyampaikan atau melaksanakannya.

Di sinilah persoalan ‘minta izin’ menjadi lebih besar. Tugas akademik merangkumi penyelidikan, penerbitan, pengajaran, syarahan, kritikan ilmiah, penjanaan serta penyebaran ilmu kepada masyarakat. Ahli akademik perlu dapat menguji andaian, menilai dasar dan menerangkan isu awam berdasarkan kepakaran masing-masing.

Kritikan akademik yang dibuat dengan suci hati, berasaskan bukti dan dalam lingkungan kepakaran tidak semestinya sama dengan tindakan yang mencemarkan institusi atau melanggar kerahsiaan.

AKTA 605
Atas dasar itu, reformasi Akta 605 wajar membezakan dengan jelas antara kritikan akademik yang dibuat dengan suci hati dan salah laku tatatertib.

Penyelidikan, penerbitan ilmiah, pengajaran, syarahan, ulasan profesional, penjanaan serta penyebaran ilmu dalam bidang kepakaran patut dilindungi, tertakluk kepada undang-undang berkaitan fitnah, rahsia rasmi, keselamatan, kerahsiaan, integriti penyelidikan, konflik kepentingan dan tanggungjawab profesional.

Universiti juga mempunyai kepentingan untuk melindungi kerahsiaan, integriti institusi dan reputasinya.

Kebebasan akademik tidak boleh dijadikan alasan untuk mendedahkan rahsia, menyebarkan maklumat palsu atau mengabaikan tanggungjawab profesional.

Namun, kepentingan tersebut tidak membenarkan sekatan yang terlalu luas.

Jika risiko sebenar hanyalah pandangan seorang akademik mungkin dianggap sebagai pendirian rasmi universiti, langkah yang lebih berkadar ialah mewajibkan penafian pandangan itu dibuat atas kapasiti akademik atau peribadi, bukannya terus menggunakan proses tatatertib.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara kepada warganegara serta membenarkan sekatan melalui undang-undang bagi tujuan yang dibenarkan Perlembagaan.

Namun, ‘kebebasan akademik’ bukan hak yang dinamakan secara khusus dalam teks Perkara 10.

Sebaliknya, ia merupakan prinsip yang berinteraksi dengan kebebasan bersuara, fungsi universiti, autonomi institusi dan tanggungjawab profesional.

Justeru, pembaharuan perlu memberikan asas undang-undang yang lebih jelas kepada kebebasan akademik tanpa mengubahnya menjadi kebebasan tanpa sempadan.

Prinsip perkadaran perlu menjadi panduan. Sekatan terhadap ucapan akademik hendaklah mempunyai tujuan yang sah, hubungan munasabah dengan risiko yang hendak dicegah serta tidak lebih luas daripada yang diperlukan.

Jika tindakan tatatertib diambil, keadilan asasi mesti dipelihara.

Pertuduhan dan asas fakta hendaklah jelas, pegawai diberikan peluang munasabah untuk menjawab, keputusan dibuat oleh pihak yang tidak berkepentingan, alasan yang mencukupi diberikan dan hukuman pula berkadar dengan kesalahan.

Kerangka OHEA wajar menyediakan mekanisme semakan bebas.

Ombudsman pendidikan tinggi boleh menangani aduan salah tadbir, manakala tribunal khusus hendaklah berasaskan peruntukan statutori yang jelas mengenai bidang kuasa, komposisi, kuasa, tatacara, standard semakan dan hubungan dengan mahkamah.

Reformasi tidak seharusnya menggantikan budi bicara lama dengan ketidakjelasan baharu dalam pentadbiran.

Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 1997 mengenai Status Kakitangan Pengajaran Pendidikan Tinggi menghubungkan kebebasan akademik dengan autonomi institusi dan tanggungjawab profesional.

Kerangka OHEA boleh membentuk model yang menyelaraskan autonomi institusi, kebebasan akademik, akauntabiliti, kebajikan warga kampus dan tatatertib.

Reformasi Akta 605 patut menjadi sebahagian daripada agenda tersebut, khususnya dalam menilai sejauh mana Peraturan 18 masih sesuai dengan fungsi akademik universiti moden.

Universiti yang matang bukan institusi tanpa batas. Ia ialah institusi yang dapat membezakan antara ketidaksetiaan dengan perbezaan pandangan, antara fitnah dengan kritikan ilmiah, serta antara pendedahan rahsia dengan penerangan kepakaran kepada masyarakat.

Ahli akademik pula perlu mempertahankan kebebasan dengan integriti, tepat pada fakta, jujur terhadap bukti dan bertanggungjawab terhadap kata-kata sendiri.

Reformasi yang baik bukan menggantikan budaya ‘minta izin’ dengan kebebasan tanpa sempadan. Sebaliknya, ia perlu menggantikannya dengan kerangka hak, tanggungjawab dan semak imbang yang jelas.

Bagi akademia, perubahan bermakna beralih daripada kebebasan yang terlalu bergantung pada budi bicara pentadbiran kepada kebebasan akademik yang mempunyai pengiktirafan undang-undang, dilaksanakan secara bertanggungjawab serta dilindungi melalui proses yang adil. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia Ahli Bersekutu (ACIS (CS) (CGP)), The Chartered Governance Institute (CGI) / Chartered Secretaries Malaysia dan Timbalan Presiden, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Scroll to Top