Kad kredit CIMB Lite-i tawar kadar keuntungan tetap 14 peratus

Kad kredit CIMB Lite-i tawar kadar keuntungan tetap 14 peratus

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperkenalkan kad kredit CIMB Lite-i dengan kadar keuntungan tetap dan tidak dikompaun sebanyak 14 peratus setahun, selain tidak mengenakan yuran tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pengenalan kad kredit CIMB Lite-i mencerminkan komitmen kumpulan untuk menjadikan kemudahan kredit lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia.

Katanya, kad kredit berkenaan menyasarkan pengguna yang memerlukan kemudahan kredit praktikal pada kos lebih rendah, khususnya untuk mengurus perbelanjaan harian dan keperluan aliran tunai jangka pendek.

“Melalui penawaran seperti CIMB Lite-i, kami mahu membantu rakyat Malaysia mengurus kewangan dengan lebih yakin dan stabil, di samping membina daya tahan kewangan dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kadar keuntungan 14 peratus setahun itu ditawarkan merentasi semua kategori pelanggan dan lebih rendah berbanding kadar yang lazim ditawarkan dalam industri.

Selain itu, pemegang kad yang membuat perbelanjaan runcit minimum RM500 dalam satu transaksi layak menikmati pelan bayaran ansuran fleksibel Islamik (FPP-i) pada kadar sifar peratus selama enam bulan.

Promosi itu sah sehingga 31 Oktober tahun depan dan membolehkan pembelian runcit yang layak ditukar kepada bayaran ansuran bulanan tanpa kos pembiayaan tambahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, produk berkenaan memenuhi keperluan pengguna yang mahukan kemudahan kredit mudah dan kos rendah tanpa perlu membayar bagi ganjaran premium atau manfaat gaya hidup yang tidak diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top