Wujud jurang pendapatan

Wujud jurang pendapatan

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pertumbuhan ekonomi yang kukuh belum tentu dapat dirasai seluruh rakyat apabila sebahagian pekerja masih menerima gaji rendah terutama di negeri yang merekodkan paras pendapatan median lebih kecil.

Bekas Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penilaian terhadap prestasi ekonomi perlu mengambil kira keadaan di peringkat akar umbi dengan meneliti perbezaan pendapatan mengikut negeri dan kumpulan masyarakat, bukan hanya berpandukan petunjuk makroekonomi.

Katanya, meskipun ekonomi negara menunjukkan prestasi positif dan kadar pengangguran berada pada paras sekitar tiga peratus yang mencerminkan keupayaan ekonomi menyerap tenaga buruh, isu pendapatan serta kos sara hidup masih perlu diberi perhatian.

“Kalau kita ingin menangani isu yang dihadapi masyarakat kita perlu melihat dari segi konteks berdasarkan data yang lebih terperinci.

“Kita boleh menyatakan pertumbuhan ekonomi bagus, tetapi apabila melihat data mengikut negeri dan kumpulan pendapatan kita dapati tidak keseluruhan rakyat Malaysia merasakan tekanan yang sama,” katanya dalam podcast Borak Harini X Bangsa Labur bertajuk ‘Apa Rakyat Harapkan, Apa Kerajaan Boleh Laksanakan?’ yang diadakan menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Mohd Uzir berkata, gaji merujuk kepada pendapatan individu, manakala pendapatan isi rumah ialah jumlah gabungan pendapatan anggota keluarga dalam sesebuah isi rumah.

Beliau berkata, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kira-kira 7.9 peratus pekerja sektor formal daripada keseluruhan sekitar sembilan juta pekerja, menerima gaji di bawah RM1,700.

Katanya, jurang pendapatan turut jelas berdasarkan gaji median mengikut negeri, dengan Selangor merekodkan kira-kira RM3,400 dan Kuala Lumpur (RM4,500) berbanding Perlis sekitar (RM1,800), Kelantan (RM1,827) dan Terengganu (RM2,200).

“Jadi, yang tertekan itu adalah mereka yang berada dalam sektor atau geografi yang gajinya masih rendah tetapi berdepan harga barangan pada peringkat nasional.

“Alangkah baiknya jika gaji median di Kelantan misalnya RM4,000 sedangkan harga barangan sama seperti yang dinikmati sekarang,” katanya.

Mohd Uzir berkata, jurang pendapatan itu menjadi lebih ketara apabila harga barangan dan perkhidmatan turut dipengaruhi faktor penawaran, permintaan serta kebergantungan kepada import.

Katanya, peningkatan pendapatan perlu dinilai bersama kemampuan rakyat memenuhi keperluan asas kerana kenaikan gaji tidak semestinya meningkatkan kuasa beli sekiranya harga barangan turut meningkat.

“Walaupun gaji seseorang RM1,000, dia masih tertekan dengan harga barang import yang kadang-kadang dipengaruhi pasaran terbuka dan bukan sepenuhnya dikawal kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kebergantungan terhadap import makanan turut memberi kesan kepada kos sara hidup terutama apabila permintaan meningkat sedangkan pengeluaran domestik tidak berkembang pada kadar yang sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top