Remaja perempuan ditahan susulan ancaman bom palsu di sekolah

SINGAPURA – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan berhubung insiden ancaman bom palsu di Sekolah Menengah Xinmin, minggu lalu, lapor CNA.

Polis mengesahkan penahanan itu pada Selasa, namun tidak butiran lanjut diberikan berhubung penahanan tersebut.

“Siasatan polis masih dijalankan,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam kejadian Khamis lalu, pelajar dan kakitangan sekolah di Hougang itu dipindahkan buat sementara waktu susulan satu ‘potensi ancaman bom’.

Pihak Sekolah Menengah Xinmin berkata, pihaknya segera menghubungi polis selepas mengetahui mengenai ancaman tersebut.

Tiada barangan mencurigakan ditemukan pihak berkuasa selepas pemeriksaan dilakukan di kawasan sekolah, manakala sesi persekolahan seperti biasa disambung semula pada hari sama.

Polis kemudian memaklumkan bahawa mereka menyiasat kejadian itu sebagai kes maklumat palsu.

Sabit kesalahan dalam menyampaikan maklumat palsu mengenai ancaman berbahaya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$50,000 (RM167,000) atau kedua-duanya.

Kes membabitkan pesalah berusia bawah 16 tahun lazimnya dikendalikan di Mahkamah Belia.

Seorang pelajar Tingkatan Empat memberitahu pemberita bahawa satu pengumuman dibuat menerusi sistem pembesar suara sekolah kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, semua pelajar diarahkan berpindah ke padang sebelum pengetua Sekolah Menengah Xinmin memaklumkan bahawa tindakan itu dibuat susulan ancaman bom.

“Ia berlaku agak tiba-tiba… Kami benar-benar tidak menjangkakannya. Ada antara mereka yang masih menduduki peperiksaan,” katanya.

Insiden ancaman bom palsu itu pernah dilaporkan empat tahun lalu di Sekolah Menengah Evergreen di Woodlands.

Walaupun ancaman tersebut disahkan palsu, Kementerian Dalam Negeri Singapura ketika itu menegaskan bahawa sebarang ancaman keselamatan tetap perlu dipandang serius.

Scroll to Top