Pernahkah anda mengalami sakit sebelah badan bermula dari bahagian bawah tulang belakang melalui punggung turun ke belakang paha hingga ke kaki sehingga sukar melakukan aktiviti harian seperti berdiri lama.
Kesakitan yang dialami ini adalah disebabkan gejala Sciatica yang merujuk kepada sakit yang berpunca daripada saraf sciatic iaitu saraf terpanjang dan terbesar dalam badan manusia. Apabila saraf ini tertekan atau mengalami radang, ia menghasilkan sakit yang biasanya berlaku di sebelah badan saja.
Pakar Perunding Bedah Saraf dan Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Nor Faizal Ahmad Bahuri berkata, Sciatica bukan satu penyakit tetapi gejala yang berlaku apabila saraf sciatic ditekan atau dimampatkan biasanya oleh cakera tulang belakang (disc) yang menonjol atau ‘slip’, atau oleh penyempitan ruang saraf (spinal stenosis).

“Tekanan ini menyebabkan keradangan dan menghantar isyarat sakit sepanjang laluan saraf sciatic. Ia bukan sahaja dirasai di belakang tetapi turut dirasai jauh ke bawah kaki. Sakit bermula dari punggung dan menjalar ke bawah kaki (satu belah sahaja).
“Pesakit akan merasa seperti terbakar, tercucuk atau seperti dikejutkan elektrik. Pesakit juga akan berasa kebas atau lemah pada kaki. Sakit akan bertambah teruk apabila duduk, batuk atau bersin.
Dalam kes lebih teruk pesakit sukar berjalan atau mengangkat kaki,” jelasnya.
Dr. Nor Faizal berkata, punca Sciatica yang paling biasa adalah slipped disc (cakera teranjak) atau herniated disc, yang mana bahagian dalam cakera tulang belakang menonjol keluar dan menekan saraf.
Katanya lagi, punca lain termasuk spinal stenosis iaitu penyempitan saluran saraf akibat penuaan, spondylolisthesis iaitu keadaan tulang belakang tergelincir dan dalam kes jarang berlaku, jisim atau tumor yang menekan saraf.
Sciatica lebih kerap berlaku pada golongan dewasa, terutamanya dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun kerana proses penyusutan atau degenerasi cakera tulang belakang bermula pada usia ini. Namun ia bukan eksklusif kepada golongan ini sahaja.
“Remaja dan kanak-kanak juga boleh mengalaminya walaupun jarang berlaku ke atas golongan ini.
“Bagi yang muda, Sciatica biasanya berkaitan kecederaan sukan, postur yang salah dalam tempoh lama atau dalam kes yang sangat jarang, keabnormalan struktur tulang belakang sejak lahir.
“Jika seorang remaja mengadu sakit yang menjalar ke kaki, ia perlu dinilai dan jangan dianggap remeh sebagai ‘sakit tumbesaran’ semata-mata. Segera rujuk mereka kepada doktor untuk mengesan penyakit sebenar,” katanya.
Sciatica mempunyai kaitan petanda awal penyakit sendi atau athritis tetapi ia bukan arthritis itu sendiri sebaliknya berpunca daripada Osteoarthritis iaitu keadaan degeneratif kronik pada sendi yang kebanyakannya menjejaskan sendi lutut, tulang belakang, sendi pinggul dan sendi tangan.
Tulang mempunyai kusyen rawan pelindung di sekelilingnya. Disebabkan oleh usia dan faktor lain, lapisan pelindung ini semakin luntur yang dipanggil Osteoartritis. Osteoartritis pada tulang belakang boleh menyebabkan pembentukan bone spurs.
Bone spurs adalah ketumbuhan tulang licin yang terbentuk di tepi tulang, biasanya di kawasan sendi. Ketumbuhan ini berlaku sebagai tindak balas badan untuk membaiki diri apabila sendi mengalami kerosakan, tekanan berterusan, atau haus akibat penuaan.
Boleh menjadi kronik
Dr. Nor Faizal berkata, kebanyakan kes Sciatica adalah ringan sehingga sederhana. Gejala ini boleh beransur pulih dalam empat hingga enam minggu dengan rawatan konservatif. Namun, jika punca adalah tekanan struktur yang berterusan tanpa rawatan betul, ia boleh menjadi kronik dan berulang.
“Dalam majoriti kes, Sciatica tidak mengancam nyawa. Namun sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, tekanan berterusan pada saraf boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal dan kelemahan otot kaki yang berpanjangan.
“Dalam kes yang sangat serius, Sciatica boleh menyebabkan cauda equina syndrome atau lebih dikenali CES yang menyebabkan kehilangan kawalan pundi kencing atau usus. Ini adalah kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera,” katanya.
CES yang tidak dirawat boleh membawa kepada kerosakan serius dan tidak dapat dipulihkan seperti pundi kencing tidak terkawal dan lumpuh kaki.
Justeru, ia memerlukan rawatan segera dan dalam banyak kes, pembedahan kecemasan diperlukan.
Rawatan
Rawatan Sciatica bermula dengan pendekatan konservatif menggunakan ubat anti radang, fisioterapi dan pengubahsuaian aktiviti seharian. Sekiranya sakit berterusan, suntikan epidural steroid boleh membantu mengurangkan keradangan di sekitar saraf.
Kebiasaannya pembedahan membabitkan mikrodiskektomi atau pembedahan endoskopi untuk membuang sebahagian kecil cakera yang menekan saraf. Namun ia adalah pilihan terakhir yang jarang diperlukan.
“Pembedahan hanya dipertimbangkan dalam kes yang tidak bertindak balas kepada rawatan lain atau jika terdapat kelemahan saraf yang progresif. Sesetengah pesakit melaporkan kelegaan sementara daripada urutan lembut atau akupuntur, terutamanya daripada segi ketegangan otot.
“Bagaimanapun, rawatan alternatif seperti urutan, akupuntur dan sebagainya tidak dapat menangani punca sebenar Sciatica iaitu tekanan yang berlaku ke atas saraf.
“Urutan yang terlalu kuat pada tulang belakang yang bermasalah juga berisiko memburukkan keadaan. Saya nasihatkan pesakit mendapatkan diagnosis yang tepat sebelum memilih kaedah alternatif,” katanya.
Senaman mampu melegakan rasa sakit pada bahagian pinggang atau sakit akibat saraf terkeluar (slipped disc), membantu tulang belakang bergerak dengan lebih bebas dan kembali normal dan membina kekuatan pada otot sekitar tulang belakang dan pinggul.
Justeru, Dr. Nor Faizal menggalakkan pesakit mengamalkan regangan dan penguatan teras (core strengthening) kerana ia membantu mengurangkan kesakitan yang dialami.
“Terdapat beberapa jenis senaman paling berkesan bagi mengatasi kesakitan akibat sciatica seperti regangan piriformis iaitu regangan lutut ke dada (knee-to-chest stretch) dan senaman berjalan ringan.
“Senaman McKenzie juga disyorkan. Ia boleh dilakukan dengan meniarap dan merehatkan otot belakang.
“Angkat bahagian dada sedikit dengan sokongan siku sambil mengendurkan otot pinggang. Tolak badan ke atas menggunakan tapak tangan bagi melenturkan tulang belakang secara perlahan,” katanya.
Katanya lagi, berjalan santai boleh merangsang pengeluaran endorfin, mengurangkan kekakuan otot dan melancarkan aliran darah ke kawasan yang sakit. Ia juga mengurangkan kekakuan pada otot belakang dan kaki.-UTUSAN




