Tokyo: Suasana di sebuah kompleks beli-belah mewah di pusat bandar Tokyo bertukar cemas pada Isnin apabila kira-kira 20 individu mengalami kecederaan akibat tindakan seorang lelaki melepaskan semburan bahan misteri di dalam bangunan berkenaan.
Jurucakap polis Tokyo, Yusuke Koide menjelaskan bahawa suspek bertindak menyembur bahan itu di kawasan mesin ATM yang terletak di aras bawah bangunan. Pihak bomba mengesahkan menerima laporan mengenai bau pelik sebelum mendapati puluhan mangsa memerlukan bantuan perubatan.
Kawasan jalan raya di hadapan pusat beli-belah yang terletak di daerah Ginza, sebuah lokasi tumpuan pelancong dan pusat beli-belah eksklusif telah ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan kepada deretan jentera bomba.
Namun, aktiviti perniagaan masih diteruskan melalui pintu masuk sisi bangunan.
Wartawan di lokasi kejadian melihat dua mangsa diusung masuk ke dalam ambulans, manakala anggota bomba berpakaian perlindungan hazmat membawa keluar beberapa individu untuk pemeriksaan lanjut di dalam trak khas.
“Setakat ini, 19 mangsa telah dihantar ke hospital,” kata pegawai jabatan bomba, Ryosuke Kobayashi.
Agensi berita NHK melaporkan kecederaan yang dialami mangsa bersifat ringan. Sumber penyiasat mendedahkan semburan itu dipercayai mengandungi capsaicin, iaitu bahan aktif daripada cili yang menyebabkan kerengsaan.
Seorang wanita warga emas berusia 70-tahun menceritakan detik cemas apabila tekaknya mula terasa pedih dan sakit sebaik menghampiri mesin ATM.
“Keadaan sudah mula kecoh ketika saya tiba. Saya sangka berlaku kebakaran kecil. Namun sebaik melangkah masuk ke sudut ATM, tekak saya terasa gatal dan hampir kebas,” katanya.
Polis kini giat menyiasat punca sebenar kejadian.
Walaupun Jepun terkenal sebagai negara dengan kadar jenayah kekerasan yang rendah serta undang-undang senjata api yang ketat, insiden serangan secara rawak masih berlaku.
Negara matahari terbit itu masih dihantui memori serangan gas sarin di kereta api bawah tanah pada tahun 1995 oleh kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo yang mengorbankan 14 nyawa serta mencederakan ribuan yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




