
Fahmi (tengah) selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru pada Sabtu.
JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berharap keputusan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Asheeq Ali Sethi Alivi melepaskan semua jawatan dan keluar parti dapat ‘mengubati’ rasa tidak puas hatinya.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) berkata, Asheeq Ali hanya menyertai PKR pada 2018 selepas berlakunya Langkah Sheraton.
“Semoga terubat apa-apa yang tersakiti untuk dia. Dia tak pernah berada dalam parti waktu kita menghadapi saat-saat paling getir sama ada pengkhianatan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Keadilan, khususnya saat paling getir apabila Keadilan hanya tinggal satu kerusi pada tahun 2004.
“Dan bila ramai dalam parti, saya rasa kita tidak akan goyang hanya kerana mungkin dia ada pandangan lain. I wish him all the best,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut berseloroh bahawa beliau tidak lagi akan menggunakan khidmat Asheeq Ali sebagai peguam dalam mana-mana kes selepas ini dan akan mendapatkan peguam lain.
Terdahulu, Asheeq Ali mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam parti termasuk sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang PKR Batu serta keluar daripada PKR berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataannya, Asheeq berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau merasakan hala tuju parti kini semakin menjauh daripada asas perjuangan dan idealisme reformasi yang diyakininya sejak menyertai PKR susulan kejatuhan kerajaan PH menerusi Langkah Sheraton.
Menurutnya, beliau pada awalnya percaya masih terdapat ruang untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu parti, namun akhirnya berdepan konflik antara idealisme perjuangan dan pragmatisme politik yang semakin menebal dalam PKR.
“Banyak keputusan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini menyimpang daripada asas perjuangan yang saya percaya sejak zaman aktivisme saya dahulu sehingga kini,” katanya.



