am@hnetro.cim.my
Kuala Terengganu: Tawaran tender projek kerajaan oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Nik Sahril’ sekali lagi memakan mangsa apabila seorang kontraktor elektrik di sini, kerugian RM152,550 selepas diperdaya sindiket penipuan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa berusia 68 tahun membuat laporan polis pada 2 petang semalam selepas menyedari menjadi mangsa penipuan individu sama.
Beliau berkata, mangsa mendakwa menerima e-mel pada 14 Julai lalu daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dikenali sebagai ‘Nik Sahril’ serta menggunakan alamat e-mel nik_sahril@jkt.my dan menawarkan projek pemasangan lampu solar di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu.
“Selepas berminat, mangsa menghubungi suspek melalui WhatsApp sebelum diminta menghantar profil syarikat untuk tujuan semakan dan pendaftaran.
“Beberapa hari kemudian, mangsa sekali lagi dihubungi dan ditawarkan projek membekalkan alat jana kuasa kepada KPKT di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat dua bayaran ke akaun syarikat berbeza bagi urusan pembekalan sembilan unit alat jana kuasa.
Katanya, pada 22 Julai lalu, mangsa memasukkan RM50,850 ke akaun sebuah syarikat sebelum membuat pembayaran kedua berjumlah RM101,700 ke akaun syarikat lain pada keesokan harinya.
“Suspek berjanji mangsa akan menerima bayaran projek berjumlah RM252,000 dalam tempoh enam hari.
“Bagaimanapun, mangsa mula curiga selepas mendapatkan nasihat daripada pihak audit yang sering menguruskan urusan syarikatnya sebelum dimaklumkan tawaran itu dipercayai satu penipuan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian cuba menghubungi suspek, namun gagal sebelum tampil membuat laporan polis.
Menurutnya, wang yang digunakan adalah milik syarikat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Azli berkata, siasatan awal mendapati kes itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penipuan yang dilaporkan sebelum ini di daerah sama.
Media semalam melaporkan seorang kontraktor kerugian lebih RN50,000 selepas terpedaya dengan tawaran tender tidak wujud daripada individu yang menggunakan nama ‘Nik Sahril’ dari KPKT.
“Polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua kes didalangi individu atau sindiket yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




