SAMBUTAN 50 tahun legasi ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Sabtu berlangsung meriah menerusi penganjuran Kejohanan Lions Rugby Tens Golden Series yang menghimpunkan 20 pasukan dalam kategori terbuka dan veteran.Lebih bermakna, kejohanan itu turut menyaksikan pertembungan antara SIC Lions dan UiTM Lions dalam aksi final kategori Cup, dengan SIC Lions muncul juara selepas mencatat kemenangan tipis 12-7.Bagi kategori veteran, DBKL Dragon pula mengungguli saingan selepas menewaskan Storm 5-0.Sambutan setengah abad itu menjadi pengiktirafan terhadap perjalanan panjang ragbi UiTM yang bermula sejak era Institut Teknologi MARA (ITM) pada 1976.Bermula dengan kemudahan serba sederhana, pasukan yang dikenali sebagai Lions itu berkembang menjadi antara nama disegani dalam arena ragbi institusi pengajian tinggi (IPT) dan kebangsaan.Sepanjang lima dekad, UiTM Lions mencipta pelbagai kejayaan menerusi kejohanan universiti dan liga tempatan, selain melahirkan pemain yang mendapat peluang menyarung jersi kebangsaan di pentas antarabangsa.Antaranya dalam temasya Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, sekali gus membuktikan sumbangan pasukan itu terhadap pembangunan ragbi negara.UiTM turut memainkan peranan dalam memajukan sukan berkenaan di peringkat IPT menerusi penganjuran kejohanan seperti UiTM Lions 10s yang menjadi antara platform penting menghimpunkan pasukan ragbi dari dalam dan luar institusi.Selepas 50 tahun, legasi UiTM Lions terus diperkukuhkan dengan semangat ‘When The Lions Roar’ yang menjadi identiti pasukan, sekali gus membawa aspirasi untuk terus melahirkan pemain berkualiti dan mengekalkan kedudukan sebagai antara kuasa besar ragbi IPT negara.
SIC Lions rampas kejuaraan, UiTM raikan 50 tahun legasi ragbi
Malay News | https://www.malay.news/sic-lions-rampas-kejuaraan-uitm-raikan-50-tahun-legasi-ragbi/