Siren amaran serangan berbunyi selepas Israel kesan peluru berpandu Iran

Siren amaran serangan berbunyi selepas Israel kesan peluru berpandu Iran
Siren amaran serangan berbunyi selepas Israel kesan peluru berpandu Iran

Orang ramai berlindung di lebuh raya antara Jerusalem dan Tel Aviv selepas siren serangan udara memberi amaran mengenai serangan peluru berpandu Iran pada 10 Mac 2026. Foto Agensi

BAITULMAQDIS – Siren amaran serangan udara berbunyi di Baitulmaqdis dan beberapa kawasan tengah Israel pada Selasa selepas tentera negara itu memberi amaran mengenai pelancaran peluru berpandu dari Iran pada hari ke-11 perang antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) dengan republik Islam tersebut.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan sistem pertahanan udara sedang beroperasi bagi memintas ancaman berkenaan.

Wartawan AFP di Baitulmaqdis turut melaporkan sekurang-kurangnya satu letupan kedengaran sejurus selepas amaran dikeluarkan.

Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini akibat serangan tersebut, namun pasukan perubatan merawat beberapa individu yang cedera ketika bergegas ke kawasan perlindungan serta mereka yang mengalami serangan panik.

Sejak Iran melancarkan serangan balas peluru berpandu terhadap Israel susulan serangan bersama AS dan Israel, sekurang-kurangnya 11 orang dilaporkan terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

Pada Isnin, serpihan peluru berpandu dilaporkan membunuh seorang lelaki dan mencederakan parah seorang lagi di tengah Israel ketika beberapa letupan menggegarkan kawasan tersebut selepas tentera memaklumkan peluru berpandu dilancarkan dari Iran.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa menegaskan operasi ketenteraan terhadap Iran masih belum berakhir, walaupun Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menyatakan konflik berkenaan dijangka berakhir dalam masa terdekat.-Agensi

Ringkasan AI

  • Siren amaran serangan udara berbunyi di Baitulmaqdis dan beberapa kawasan tengah Israel
  • Tentera Israel memberi amaran mengenai pelancaran peluru berpandu dari Iran
  • Sekurang-kurangnya satu letupan kedengaran selepas amaran dikeluarkan
  • Tiada kecederaan serius dilaporkan, tetapi beberapa individu cedera dan mengalami serangan panik
  • Perdana Menteri Israel menegaskan operasi ketenteraan terhadap Iran masih belum berakhir
Scroll to Top