Sorana terus cipta magis di Rom

Sorana terus cipta magis di Rom

Rom: Pemain veteran Sorana Cirstea membuktikan usia bukan penghalang apabila meneruskan kemaraan cemerlangnya di Terbuka Itali dengan mara ke separuh akhir selepas menewaskan bekas juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko 6-1, 7-6(0).

Pemain Romania berusia 36 tahun itu yang dijangka bersara hujung tahun ini sebelum ini mencipta kejutan besar kejohanan apabila menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka di pusingan ketiga Sabtu lalu.

Kemenangan terbaru itu meletakkan Sorana hanya selangkah untuk menembusi kelompok 20 terbaik dunia buat kali pertama dalam kariernya selepas pencapaian terbaik sebelum ini ialah ranking ke-21 dunia pada Ogos 2013.

“Saya selalu percaya tiada tarikh luput untuk cita-cita dan impian.

“Saya rasa semua orang boleh lihat betapa saya sangat mencintai sukan ini. Saya mempunyai semangat yang besar terhadap tenis.

“Untuk bermain di sini dan mara ke separuh akhir di Rom memang sesuatu yang menakjubkan.

“Saya sangat berterima kasih kepada tenis dan saya benar-benar menikmati minggu saya di Rom setakat ini,” katanya.

Prestasi cemerlang Sorana di gelanggang tanah liat musim ini menyaksikan dia hanya tewas dua kali iaitu kepada juara grand slam dua kali, Coco Gauff di Terbuka Madrid dan pemain muda Rusia, Mirra Andreeva di Terbuka Linz.

Dia juga sebelum ini terpaksa menarik diri daripada separuh akhir Terbuka Rouen akibat kecederaan kaki.

Menariknya, Sorana bakal bertemu salah seorang daripada dua pemain terbabit di separuh akhir di Rom.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top