Buriram United enggan mendabik dada, anggap misi belum selesai

Buriram United enggan mendabik dada, anggap misi belum selesai

JOHOR BAHRU : Pengendali Buriram United, Mark Jackson mengingatkan barisan pemainnya agar tidak terlalu dibuai kemenangan 3-1 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), minggu lalu.

 

Menurut Jackson, perjuangan pasukan juara bertahan itu masih belum berakhir kerana perlu mengharungi tempoh 90 minit permainan di Stadium Arena Chang sebelum melangkah ke pentas final.

 

Katanya, walaupun Thunder Castle memiliki kelebihan jaringan, itu tidak bermakna mereka berada di posisi selesa  sebaliknya menuntut anak buahnya memberi tumpuan penuh pada aksi timbal balik separuh akhir ACC, malam ini.

 

“Kami sentiasa mempunyai keyakinan terhadap kemampuan pasukan, terutamanya di halaman sendiri dengan sokongan padu penyokong. Namun, bekalan jaringan itu tidak bermakna kami boleh berasa selesa atau bersikap angkuh.

 

“Setiap perlawanan kami turun dengan kepercayaan untuk menang, tetapi itu bukan bermakna kami mendabik dada atau memandang rendah keupayaan lawan.

 

“Kami sedar kami pasukan yang kuat dengan individu yang hebat, namun kuncinya adalah kerja keras sebagai satu pasukan,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai persiapan menjelang aksi kedua nanti, Jackson menegaskan beliau tidak akan mengubah pendekatan pasukannya secara drastik sebaliknya akan memperincikan setiap aspek taktikal.

 

Beliau turut memuji karakter kental yang dimiliki anak buahnya yang cukup berdisiplin ketika mengekang kemaraan pasukan JDT yang disifatkan sebagai faktor utama kejayaan pasukan menang 3-1.

 

“Tiada apa yang akan berubah dari segi taktikal kami. Kami tidak akan terbawa-bawa dengan kemenangan ini kerana sedar ia hanya separuh masa. Fokus kami kini 100 peratus terhadap aksi kedua nanti.

 

“Kami memahami kualiti pihak lawan, namun keutamaan kami adalah fokus kepada diri sendiri. Kami mempunyai kelompok pemain yang hebat serta semangat kebersamaan yang tinggi, dan itu yang akan kami bawa untuk aksi seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top