SPRM cadang moratorium sementara 6 bulan import sisa plastik, e-waste

SPRM cadang moratorium sementara 6 bulan import sisa plastik, e-waste

hafidzul@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan pelaksanaan moratorium sementara selama enam bulan bagi aktiviti pengimportan sisa plastik dan sisa elektronik (e-waste) ke dalam negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, langkah ‘bertenang’ itu wajar dipertimbangkan bagi membolehkan penilaian menyeluruh dilakukan terhadap kesan sebenar kemasukan bahan berkenaan kepada negara.

Menurutnya, tempoh percubaan enam bulan itu penting untuk meneliti implikasi import sisa tersebut terhadap tiga aspek utama iaitu ekonomi, alam sekitar, serta sistem penguatkuasaan negara.

“Malaysia tidak memerlukan kemasukan sisa plastik dan e-waste dalam jumlah berlebihan.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi meneliti punca kuasa yang berkaitan sebelum sebarang keputusan dasar jangka panjang dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 1/2026 di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan barisan kepimpinan tertinggi SPRM.

Mengulas lanjut, Azam menegaskan bahawa penubuhan Pasukan Petugas Khas yang kini dipengerusikan oleh SPRM mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa isu lambakan sisa asing bukan lagi sekadar isu teknikal atau alam sekitar.

Sebaliknya, ia menjadi isu tadbir urus, integriti penguatkuasaan, serta melibatkan kepentingan nasional.

“SPRM dilantik sebagai pengerusi pasukan ini menerusi surat KSN bertarikh 8 Disember 2025, menandakan peralihan kepada pendekatan pengurusan risiko nasional secara menyeluruh,” katanya.

Data semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk tindakan ini apabila Laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) 2025 menyenaraikan Malaysia antara negara teratas mengimport sisa sejak 2023.

Malah, Mismanaged Waste Index (MWI) 2025 mengklasifikasikan Malaysia dalam kategori tinggi dengan anggaran 26.4 peratus sisa plastik tidak diuruskan dengan baik.

Dalam mesyuarat itu, SPRM turut menekankan keperluan kerjasama erat 12 agensi dalam pasukan petugas khas itu, khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ia selaras dengan peranan JKDM dalam mengawal pintu masuk negara, JAS dalam menguatkuasakan Konvensyen Basel, serta MITI dalam penggubalan dasar perdagangan.

Sebagai rekod, Malaysia mula mengetatkan sekatan import sisa plastik berkuat kuasa 1 Julai 2025, di mana hanya sisa yang sesuai untuk kitar semula dan mempunyai permit SIRIM serta MITI dibenarkan masuk.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top