Tiada lagi Neymar dalam skuad Brazil – Ancelotti

CARLO Ancelotti mengesahkan Neymar tidak lagi akan menyarung jersi Brazil, sekali gus menutup tirai karier antarabangsa penyerang Santos itu yang mewarnai Selecao lebih sedekad.

Jurulatih itu berkata, keputusan tersebut dibuat sendiri oleh Neymar, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 34 tahun itu bersama skuad kebangsaan selepas Piala Dunia 2026.

“Neymar memang layak berada di sini atas kualiti yang dimilikinya. Namun Neymar sendiri sudah mengesahkan bahawa beliau tidak mahu kembali ke skuad kebangsaan,” ujar Ancelotti.

Neymar meninggalkan legasi besar bersama Brazil, namun kegagalan Selecao pada Piala Dunia lalu menyaksikan Ancelotti kini memberi tumpuan kepada pembentukan semula pasukan menjelang Piala Dunia 2030.

Pengendali dari Itali itu mengakui kehilangan Neymar bukan sesuatu yang mudah untuk diatasi kerana Brazil tidak mempunyai pemain lain yang mampu menggantikan bakat unik bintang berkenaan.

“Neymar tidak boleh diganti kerana beliau adalah bakat yang luar biasa dan unik. Jadi, beliau seorang pemain yang tiada galang gantinya,” katanya.

Dengan episod Neymar berakhir, Ancelotti bersama Pengarah Skuad Kebangsaan, Rodrigo Caetano, memulakan proses rombakan besar-besaran untuk melahirkan generasi baharu pemain Brazil.

Fokus utama mereka adalah membentuk pasukan yang mampu mengembalikan Brazil ke puncak bola sepak dunia pada Piala Dunia 2030, dengan proses pembaharuan itu mula diterapkan menerusi senarai panggilan terkini.

Beberapa pemain veteran disisihkan bagi memberi ruang kepada prospek muda dan bintang yang sedang meningkat naik, khususnya dari saingan liga tempatan.

Ancelotti mahu tempoh empat tahun akan datang dimanfaatkan untuk menilai pemain yang lahir pada pertengahan 2000-an, terutama kelompok kelahiran 2004, 2005 dan 2006.

“Kita perlu bergerak langkah demi langkah. Kini kita perlu fokus kepada pemain-pemain muda yang boleh menjadi masa depan pasukan.

“Kita juga mempunyai pemain muda berbakat besar yang lahir pada 2008. Walaupun belum beraksi secara kerap, mereka mampu bermain. Ini masa yang sesuai untuk menilai mereka dengan mengambil kira dan menghormati faktor umur.

“Memang benar seseorang pemain itu masih mampu beraksi cemerlang biarpun berusia 36 atau 37 tahun tetapi buat masa ini, keutamaan harus diberikan kepada bakat muda,” katanya.

Scroll to Top