nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua syarikat didapati terbabit dalam kartel penipuan bida bagi Tender Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Tender CSR) membabitkan nilai perolehan sebanyak RM285 juta yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, dua syarikat itu didapati secara berperingkat melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
“Melalui penyiasatan MyCC, syarikat itu didapati bersetuju untuk terbabit dalam perkongsian maklumat yang diselaraskan dan pakatan dalam penyediaan serta penyerahan bidaan mereka.
“MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam berkaitan tender CSR,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, adalah penting untuk ditekankan bahawa pada peringkat ini, keputusan cadangan itu adalah dapatan awal dan ia tidak boleh dianggap bahawa syarikat berkenaan sudah melanggar Akta 712 secara konklusif.
“Mereka juga sudah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan. Mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya ini pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Katanya, MyCC hanya akan mengeluarkan keputusan cadangan selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh syarikat itu bersama-dengan bukti diperoleh semasa penyiasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




