HAVANT: Britain yang sekian lama dikenali sebagai negara yang kerap menerima hujan kini giat membina sebuah takungan air baharu berskala besar susulan perubahan iklim yang menyebabkan cuaca semakin panas dan kering.
Projek Havant Thicket bernilai 800 juta pound (RM4.3 bilion) berhampiran pelabuhan Portsmouth di selatan England itu merupakan takungan air pertama dibina di negara berkenaan dalam tempoh lebih tiga dekad.
Baca juga: Kerajaan selesai bayar balik lebihan cukai RM20.27 bilion libatkan 3.65 juta kes – HASiL
Jentolak kini digunakan untuk kerja-kerja penggalian di tapak projek berkenaan yang dijangka membantu menangani masalah kekurangan bekalan air.
Seperti kebanyakan negara Eropah, Britain mengalami gelombang haba luar biasa pada musim panas tahun ini. Walaupun hujan kembali turun ketika negara itu memasuki musim sejuk, beberapa kawasan masih berdepan keadaan kemarau.
“Kita berdepan masalah keselamatan bekalan air yang semakin serius di UK. Kita perlu memikirkan dengan teliti bagaimana menyimpan air kerana masalah ini hanya akan menjadi semakin buruk,” kata Saintis Iklim Universiti Reading, Hannah Cloke kepada AFP.
Para saintis memberi amaran kejadian cuaca ekstrem dijangka berlaku dengan lebih kerap dan semakin buruk susulan perubahan iklim global.
Menurut Agensi Alam Sekitar, hampir seluruh England masih berada dalam keadaan kemarau menjelang pertengahan November, dengan beberapa kawasan dikategorikan mengalami kemarau teruk.
Keadaan diburukkan lagi apabila paras air di takungan sedia ada hanya mencapai 60 peratus, iaitu 19 mata peratusan lebih rendah berbanding purata mengikut musim.
Situasi itu turut menjadi cabaran jangka panjang kepada pembuat dasar apabila permintaan air meningkat susulan pertambahan penduduk serta perkembangan industri yang menggunakan air dalam jumlah besar, termasuk pusat data.
Berdasarkan Rangka Kerja Kebangsaan Sumber Air England yang diterbitkan pada 2025, negara itu berdepan kemungkinan kekurangan bekalan air sebanyak lima bilion liter sehari menjelang 2055.
Ketua Pegawai Eksekutif Portsmouth Water, Bob Taylor berkata, industri bekalan air mula menyedari skala cabaran itu susulan beberapa kejadian kemarau dan musim panas yang panas secara berturut-turut.
Menurutnya, isu utama bukan semata-mata jumlah hujan yang turun sepanjang tahun, sebaliknya waktu hujan berlaku apabila musim sejuk semakin basah, manakala musim panas semakin kering.
“Tanpa takungan air, kita tidak dapat menyimpan air hujan lebat untuk digunakan pada masa lain,” katanya.
Takungan baharu itu mampu menampung sehingga 8.7 bilion liter air bagi membantu menjamin bekalan kepada ratusan ribu penduduk.
Sebahagian bekalannya akan diperoleh daripada lebihan air pada musim sejuk daripada sebuah mata air utama yang turut digunakan Portsmouth Water.
Projek itu menjadi antara inisiatif utama dalam perubahan strategi pengurusan air Britain yang lebih menyeluruh.
Kerajaan meluluskan pembinaan sembilan takungan air utama menjelang 2050, selain melonggarkan peraturan perancangan tahun lalu bagi mempercepatkan pelaksanaan projek selepas berdekad-dekad mengalami kekurangan pelaburan dalam infrastruktur bekalan air.
Kesemua takungan yang dirancang itu dijangka mampu membekalkan tambahan 670 juta liter air sehari.
Takungan Havant Thicket yang kini satu-satunya projek seumpamanya dalam pembinaan dijangka menjadi takungan air pertama mula beroperasi di England sejak 1992.
Taylor berkata, kemudahan itu dijangka mula beroperasi pada 2032 atau 2033.
Apabila digabungkan dengan loji kitar semula air sisa yang dirancang Southern Water dan masih menunggu kelulusan, kedua-dua kemudahan itu dijangka mampu membekalkan sehingga 111 juta liter air sehari.
Bagaimanapun, cadangan pembinaan loji kitar semula itu mencetuskan bantahan penduduk setempat.
Penduduk dan wakil rakyat berhujah bahawa takungan berkenaan sepatutnya hanya dibekalkan air daripada mata air, mencerminkan ketidakpercayaan orang ramai terhadap industri bekalan air susulan beberapa skandal pelepasan kumbahan secara haram.
Taylor menegaskan projek itu akan membawa manfaat besar kepada alam sekitar dengan mengurangkan kebergantungan Southern Water terhadap sungai-sungai kapur yang menjadi antara ciri alam semula jadi terkenal di selatan England.
Ekosistem sungai berkenaan yang sensitif sebelum ini mengalami kerosakan akibat pengambilan air secara berlebihan.
Cloke berkata, takungan air yang dirancang untuk dibina di Britain mengambil masa berdekad-dekad sebelum dapat beroperasi.
Justeru, beliau memberi amaran pembinaan takungan semata-mata bukan penyelesaian mutlak kepada masalah kekurangan air.
Sebaliknya, beliau menggesa pendekatan lebih menyeluruh merangkumi pengumpulan air hujan, kitar semula air, pengurangan penggunaan serta pemodenan rangkaian bekalan air yang semakin usang.
“UK ketinggalan dalam aspek ini. Saya berpendapat banyak negara Eropah lain lebih menitikberatkan usaha mengurus sumber air dengan lebih baik,” katanya.
Agensi Alam Sekitar turut mengakui masih terdapat jurang besar yang perlu diatasi.
Agensi itu menganggarkan kira-kira 60 peratus daripada kekurangan bekalan air pada masa depan perlu ditangani melalui pengurangan penggunaan, usaha mengurangkan kebocoran serta penggunaan sumber air yang lebih cekap.
Baki keperluan pula perlu dipenuhi melalui pemindahan bekalan air antara wilayah, projek kitar semula air dan penyahgaraman, yang sebahagiannya sudah dalam peringkat pembangunan.-AFP
The post UK bina takungan air baharu hadapi kemarau berpanjangan appeared first on Utusan Malaysia.