KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) masih belum memuktamadkan agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan terdapat beberapa pertindihan tuntutan kerusi antara parti komponennya.
Ketua Penerangan PN, Tan Sri Annuar Musa berkata, rundingan yang berlangsung pada Selasa berjaya menyelesaikan sebahagian besar agihan kerusi, namun beberapa kerusi yang menjadi pertindihan masih memerlukan perbincangan lanjut.
“Kita duduk berbincang dan setiap parti membentangkan senarai kerusi yang mereka sasarkan. Ada beberapa kerusi yang tidak berlaku pertindihan dan perkara itu telah selesai.
“Yang ada pertindihan itu kita setuju untuk bincang esok pada pukul 10 pagi, kita balik hitung tengok macam mana untuk nak selesaikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat PN di Pejabat Agung Pas di sini pada Selasa.

Annuar (kanan) bersama Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) Ketika ditemui selepas selesai Mesyuarat Agihan Kerusi PN bagi PRN Johor di Pejabat Agung Pas pada Selasa.
Mengulas mengenai penggunaan logo PN pada PRN Johor, beliau berkata, perkara itu masih dalam peringkat rundingan dan akan diumumkan selepas semua perbincangan selesai.
“Itu nanti bila semua sudah siap, kita akan buat pengumuman.
“Kita jangka akan muktamadkan rundingan agihan kerusi menjelang Khamis sebelum dibawa ke mesyuarat induk untuk pengesahan,” katanya.
Sementara itu Presiden MIPP, P Punithan mengesahkan PN akan bertanding di semua 56 DUN pada PRN Johor akan datang.
“Kita buat perbincangan dan rundingan kerusi sebab kita nak bertanding. Setakat ini lebih separuh sudah selesai,” ujarnya.



