PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai dipukul seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di Wangsa Maju dekat sini pada 22 September lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.35 petang pada hari berkenaan.
“Susulan laporan tersebut, kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani menerusi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.
“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna Thread @ekin.mokhtar mendakwa ditumbuk lelaki tidak dikenali dalam LRT Kelana Jaya antara Stesen Dato Keramat- Jelatek pada 22 September lalu.
Mangsa mendakwa ditumbuk di muka dan kepala oleh lelaki tersebut.- UTUSAN




