PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli teruja untuk memulakan saingan di rantau Asia apabila turun beraksi pada Kejuaraan Dunia Moto3 Grand Prix (GP) Jepun di Motegi, Jumaat hingga Ahad ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mahu memanfaatkan perlumbaan berkenaan untuk mencatat keputusan positif sebelum saingan diteruskan ke Indonesia, Australia dan Malaysia.
“Hujung minggu ini merupakan minggu perlumbaan GP Jepun dan saya amat teruja untuk memulakan siri pusingan di Asia. Saya sememangnya menantikan perlumbaan ini dan bertekad untuk memberikan persembahan terbaik di Motegi.
“Strategi saya adalah melakukan permulaan yang mantap seawal hari pertama. Saya mahu bermula dengan rentak yang baik, kekal fokus dan memastikan saya sentiasa kompetitif dalam setiap sesi latihan serta kelayakan.
“Saya dan pasukan akan bekerja keras sepanjang minggu ini bagi memastikan jentera berada pada tahap optimum untuk mengutip mata maksimum hingga ke pusingan di Malaysia nanti,” katanya.
GP Jepun menjadi pembuka tirai siri perlumbaan Asia musim 2026 sebelum GP Indonesia pada 11 Oktober, GP Australia pada 25 Oktober dan GP Malaysia pada 1 November.
Pelumba kelahiran Kampung Surau Panjang, Kuala Terengganu itu hadir ke Motegi dengan keyakinan selepas mengumpul 101 mata untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan kejuaraan dunia.
Sementara itu, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, siri perlumbaan di Asia menjadi tempoh penting buat pasukan berikutan jadual perlumbaan secara berturut-turut.
“Minggu ini kita memasuki Asia Tour, yang merupakan satu tempoh sangat penting kerana kita akan melalui perlumbaan secara back-to-back.
“Perkara paling utama adalah memastikan kesihatan dan kecergasan Hakim Danish berada pada tahap terbaik. Selain itu, kita mahu meningkatkan keyakinan Danish terhadap motosikal serta memastikan dia dapat terus bersaing dan berada pada tahap kompetitif.
“Saya akan bersama Hakim Danish di Motegi dan berharap kehadiran saya di sana dapat memberikan semangat serta sokongan kepadanya untuk menghadapi perlumbaan ini,” katanya.



