LAZADA Malaysia kembali merancakkan pasaran e-dagang menerusi Jualan Super WOW Lazada 6.6 dengan memberi penekanan kepada pengalaman membeli-belah lebih selamat, dipercayai dan pintar, bukan sekadar menawarkan harga murah semata-mata.
Kempen bertemakan ‘Catch Your Best Deals’ tersebut bakal berlangsung bermula jam 8 malam pada 5 Jun hingga 11.59 malam, 8 Jun depan dengan tumpuan terhadap produk tulen, jenama dipercayai, sokongan kepada jenama tempatan serta pengalaman beli-belah dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin berkata, perubahan tingkah laku pengguna hari ini menunjukkan rakyat Malaysia semakin berhati-hati dalam membuat keputusan pembelian, khususnya dalam persekitaran ekonomi semasa.
Menurutnya, pengguna kini tidak lagi membeli semata-mata kerana diskaun besar, sebaliknya lebih mementingkan keyakinan terhadap platform, ketulenan produk dan nilai bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
“Persaingan sebenar dalam eDagang hari ini bukan lagi pada harga semata-mata. Ia tentang kepercayaan. Apabila rakyat Malaysia semakin teliti dengan setiap ringgit yang dibelanjakan, ‘Catch’ sebenar, bermaksud membantu mereka membeli dengan lebih bijak, bukan sekadar lebih murah.
“Ini termasuk produk yang tulen, penjual yang diyakini, carian produk yang lebih pintar dan sokongan selepas pembelian.
“Bagi Lazada, 6.6 bukan lagi sekadar jualan mega. Ia adalah detik untuk membina keyakinan pengguna. Setiap kedai rasmi, setiap juara tempatan di LazMall dan setiap cadangan produk dibantu AI memainkan peranan dalam membantu rakyat Malaysia membuat pilihan dengan lebih yakin,” katanya sempena pelancaran Jualan Super WOW Lazada 6.6, di sini pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Beliau berkata, faktor keselamatan dan jaminan yang ditawarkan menerusi LazMall menjadi antara pemangkin utama perubahan tersebut.
Katanya, melalui LazMall, pengguna boleh membeli daripada kedai rasmi jenama, melihat maklumat penjual yang dipercayai, membaca ulasan produk, menyemak penilaian, terma-terma pemulangan dan perlindungan platform.
Katanya, LazMall menawarkan jaminan ketulenan produk 100 peratus, pemulangan percuma selama 15 hari selain jaminan wang dikembalikan lima kali ganda bagi produk tidak tulen.
“Sebelum ini pengguna perlu mencari produk di banyak halaman dan membuat perbandingan sendiri. Kadangkala mereka mengambil masa sehingga setengah jam untuk membuat keputusan membeli satu produk.
“Kini pengguna hanya perlu berkomunikasi dengan LazzieChat yang bertindak sebagai ejen membeli-belah. Berdasarkan arahan yang diberikan, ia membantu membandingkan produk dan mencari pilihan terbaik.
“Kami juga memperkenalkan fungsi ‘Ask Buyers’ di mana AI akan menghasilkan jawapan paling relevan berdasarkan pengalaman pembeli terdahulu,” jelasnya.
Dalam pada itu Kaya berkata, kempen 6.6 tahun ini turut menyokong inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia (KBBM) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan mengetengahkan jenama tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana, bersama jenama global.
“Melalui promosi khas, LazMall dan alat carian produk dibantu AI, Lazada mahu membantu perniagaan tempatan mencapai lebih ramai pengguna di seluruh negara, selain meningkatkan daya saing mereka dalam ekonomi digital.
“Jenama seperti GINTELL, HABIB, TTRacing, Signature Market, SAMEL dan OxWhite membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu tampil sebagai pilihan premium, dipercayai dan bersedia untuk berkembang.
“Dengan meletakkan jenama tempatan ini di platform yang sama dengan jenama global, Lazada membantu pengguna menemui lebih banyak pilihan yang diyakini, sambil membuka peluang pertumbuhan yang lebih luas kepada perniagaan Malaysia,” katanya.

Kempen bertemakan ‘Catch Your Best Deals’ bakal berlangsung bermula jam 8 malam pada 5 Jun hingga 11.59 malam, 8 Jun depan. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Jualan Super WOW Lazada 6.6 menawarkan baucar eksklusif bernilai sehingga RM6,666, diskaun LazFlash sehingga 90 peratus dan baucar tambahan bagi kedai-kedai terpilih sehingga 15 peratus.
Selain itu, turut ditawarkan All-Out-Surprise Deals serta pengalaman interaktif dalam aplikasi, aktiviti permainan dan ganjaran LazCoin yang memberi pengguna lebih banyak cara untuk bermain, mengumpul ganjaran dan berjimat.
Untuk rekod, Lazada mencatatkan peningkatan sebanyak 452 peratus di keseluruhan platform menerusi kempen jualan ulang tahun Lazada Mac lalu, manakala jualan di LazMall meningkat 1,112 peratus atau lebih daripada 11 kali ganda.
Kini, 41 peratus daripada keseluruhan perniagaan Lazada Malaysia datang daripada LazMall mencerminkan pilihan pengguna yang lebih mengutamakan kepercayaan dan jaminan.



