Azalina tegur desakan Rayer -“Perdana Menteri bukan pendakwa raya”

Azalina tegur desakan Rayer -“Perdana Menteri bukan pendakwa raya”

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer bahawa Perdana Menteri tidak boleh menentukan seseorang individu dituduh semula kerana kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara.

Keputusan pendakwaan dibuat berdasarkan undang-undang, fakta & bukti

Menerusi satu kenyataan, Azalina menegaskan keputusan pendakwaan perlu dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukannya tekanan atau kehendak politik. Prinsip kedaulatan undang-undang juga perlu dipertahankan tanpa mengira kedudukan politik atau identiti individu terbabit.

“Dalam isu desakan Yang Berhormat (YB) Jelutong supaya Perdana Menteri memastikan seseorang dituduh semula, persoalan asas perlu diberikan perhatian ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk mengelakkan campur tangan politik dalam keputusan berkaitan kes individu.
“Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya. Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang berkenaan,” katanya.

Kebebasan pendakwaan perlu dihormati

Terdahulu, Rayer ketika membahaskan Belanjawan 2027 mempersoalkan tindakan menarik balik pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selain mempersoalkan mengapa kes itu tidak dituduh semula di mahkamah.

Mengulas lanjut, Azalina berkata kebebasan pendakwaan perlu dihormati dalam amalan politik dan bukan sekadar menjadi sebahagian daripada cadangan perubahan institusi.

“Kita tidak boleh menolak campur tangan politik dalam pendakwaan, tetapi pada masa yang sama mendesak Perdana Menteri memastikan pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan,” kongsinya.

Beliau turut menegaskan bahawa orang ramai berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan munasabah. Namun, perbezaan keputusan antara kes tidak semestinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.

Azalina berkata Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan berhubung alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa sepatutnya diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.

Sumber: Facebook Azalina Othman Said

Scroll to Top