Bola 'Tangan Tuhan' Maradona dibuka bidaan RM10.6 juta

Bola 'Tangan Tuhan' Maradona dibuka bidaan RM10.6 juta

London: Bola perlawanan suku akhir Piala Dunia 1986 antara Argentina dan England yang mencipta sejarah menerusi jaringan kontroversi “Hand of God” oleh Diego Maradona bakal dilelong dengan harga pembukaan AS$2.5 juta (kira-kira RM10.6 juta).

Penganjur lelong terkenal, Heritage Auctions menyifatkan bola berkenaan sebagai “cawan suci” dalam dunia koleksi sukan dan menjangkakan nilainya mampu menghampiri harga RM39 juta yang dibayar untuk jersi Maradona daripada perlawanan sama pada tahun 2022.

Pakar lelongan Heritage Auctions, Mike Provenzale berkata, sukar untuk menganggarkan nilai sebenar bola itu kerana tiada barangan lain yang setanding dengannya.

“Ia adalah satu-satunya item seumpamanya di dunia.

“Boleh dikatakan ini adalah barangan bola sepak paling penting yang masih wujud,” katanya kepada Reuters.

Bola itu menjadi simbol salah satu detik paling ikonik dan kontroversi dalam sejarah bola sepak apabila Maradona menjaringkan gol menggunakan tangannya ketika Argentina menewaskan England 2-1 dalam aksi suku akhir Piala Dunia 1986 di Mexico City.

Gol berkenaan kemudian dikenali sebagai “Hand of God” atau “Tangan Tuhan”, istilah yang dicipta sendiri oleh legenda Argentina itu selepas perlawanan.

Lelongan itu diadakan ketika pasaran koleksi bola sepak global terus berkembang pesat, didorong lagi oleh kemeriahan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Menurut Provenzale, Amerika Syarikat kini menjadi pemacu utama pasaran koleksi sukan dunia.

“Amerika Syarikat menguasai pasaran koleksi sukan. Industri ini bermula di sini dan mempunyai pangkalan pengumpul yang sangat besar, malah jumlahnya terus berkembang dengan pantas,” katanya.

Sebelum ini, pasaran koleksi sukan banyak didominasi oleh bola keranjang, besbol dan hoki ais, namun koleksi berkaitan bola sepak semakin mendapat perhatian dalam tempoh enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini.

Selain bola sepak, sukan seperti Formula Satu dan gusti profesional turut menyaksikan peningkatan minat dalam kalangan pengumpul.

Provenzale berkata, antara segmen yang berkembang paling pantas ialah kad dagangan moden yang memaparkan pemain-pemain terkenal dunia seperti Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappé.

Katanya, kejohanan besar seperti Piala Dunia sering memberi kesan langsung kepada nilai koleksi apabila prestasi pemain mampu meningkatkan harga pasaran dalam tempoh singkat.

“Kami mempunyai beberapa kad Messi yang sedang dilelong sekarang. Pada malam dia menjaringkan hatrik, nilainya terus melonjak,” katanya.

Menurut Provenzale lagi, perhatian pelabur dan pengumpul kini mula beralih kepada pencarian bintang baharu yang bakal menyerlah sepanjang baki saingan Piala Dunia.

“Pasaran akan menunggu dan melihat siapa yang mampu melangkah jauh ke pusingan 32 terbaik dan seterusnya.

“Pasaran sudah mengenali Messi, Ronaldo dan Mbappe. Kini tumpuan beralih kepada pemain-pemain yang bakal mencipta nama dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top