Saya tiada masalah jika Scotland tersingkir – Burley

Saya tiada masalah jika Scotland tersingkir – Burley

Miami: Bekas ketua pasukan Scotland, Craig Burley berkata kemaraan Scotland ke pusingan kalah mati Piala Dunia akan menjadi ‘ganjaran kepada tahap permainan cukup-cukup makan’ mereka selepas bolos empat gol dan gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua perlawanan terakhir kumpulan.

Selepas kekalahan 0-3 kepada Brazil di Miami semalam, Scotland kini perlu menunggu penuh debaran untuk melihat sama ada tiga mata yang diperoleh menerusi kemenangan ke atas Haiti dalam aksi pembukaan cukup untuk membawa mereka kekal di Amerika Utara.

Scotland kini berada di tangga ketujuh dalam ranking pasukan tempat ketiga daripada 12 kumpulan Piala Dunia dengan lapan pasukan terbaik akan layak ke pusingan seterusnya.

“Saya tiada masalah jika Scotland tersingkir..kerana maaf..tetapi kita hanya akan memberi ganjaran kepada tahap permainan yang cukup-cukup makan di sini dan mereka tidak benar-benar layak untuk mara jika kita jujur.

“Saya tidak fikir mereka akan layak kecuali bernasib baik. Jika mereka layak sekalipun, saya rasa ia memalukan untuk melihat Scotland.

“Ia agak tahap kedua, bukan? Mereka tidak mempunyai pemain yang cukup bagus. Jika mereka mara, tidak mengapa.

“Tetapi tidak sepatutnya ada sambutan besar walaupun ini kali pertama Scotland layak dari peringkat kumpulan kerana ia sebenarnya berlaku secara ‘default’,” kata Burley kepada ESPN.

Burley yang membuat 46 penampilan antarabangsa antara 1995 hingga 2003 turut menyuarakan kekecewaan terhadap kualiti pemain yang dimiliki jurulatih Steve Clarke, membandingkannya dengan era bekas pemain Steve Nicol.

Bekas pertahanan kanan Liverpool itu, Nicol yang bermain untuk Scotland pada era 1980-an bersama Kenny Dalglish dan Graeme Souness turut bersetuju.

“Daripada segi kualiti pemain dalam kumpulan itu, sama ada Scotland atau mana-mana pasukan lain, mereka tidak sepatutnya mara dalam Piala Dunia.

“Piala Dunia sepatutnya peringkat elit. Ia adalah trofi mahu dimenangi semua pemain lebih daripada trofi yang lain, tidak kira negara mana yang anda diwakili.

“Dan tarafnya seperti direndahkan apabila ada pasukan tertentu yang layak walaupun tidak benar-benar layak berada di sana,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top