Boustead Hotels & Resorts sasar ambil alih lima hotel, resort tahun ini

Boustead Hotels & Resorts sasar ambil alih lima hotel, resort tahun ini

BOUSTEAD Hotels & Resorts menyasarkan pengambilalihan lima hotel dan resort di seluruh negara tahun ini dalam usaha memperluaskan portfolio pengurusan hospitalitinya, sekali gus menjadi langkah baharu syarikat tersebut sebagai operator kepada pemilik hotel luar kumpulan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels & Resorts, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, pengambilalihan pertama dimulakan menerusi Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik yang bakal dijenamakan semula sebagai Royale Bintang Janda Baik bermula 1 Ogos ini.

Menurutnya, langkah tersebut menjadi titik mula kepada perusahaan baharu syarikat selepas sebelum ini hanya mengurus dan mengendalikan hotel di bawah kumpulan Boustead sendiri.

“Tahun ini, kami jangkakan lima pengambilalihan dan ini merupakan yang pertama. Insya-ALLAH telah ada perbincangan yang dijalankan sejak daripada akhir tahun lepas lagi

“Lokasi terlibat di seluruh Malaysia. Insya-ALLAH tahun depan kita akan mula lebarkan sayap kita ke luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Surat Tawaran antara Cherengin Hills Sdn Bhd dan Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd di sini pada Isnin.

Duduk dari kiri, Jack Wong, Rosthman, Kumarakuru dan Zalina bergambar selepas Majlis Menandatangani Surat Tawaran antara Cherengin Hills Sdn Bhd dan Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd di Janda Baik, Bentong pada Isnin.

Duduk dari kiri, Jack Wong, Rosthman, Kumarakuru dan Zalina bergambar selepas Majlis Menandatangani Surat Tawaran antara Cherengin Hills Sdn Bhd dan Boustead Hotels & Resorts Sdn Bhd di Janda Baik, Bentong pada Isnin.

Turut hadir, Rakan Pengurusan, Pemulihan & Penstrukturan Korporat Baker Tilly Malaysia, Kumarakuru Jai Prakash Krishnan; Ketua pegawai operasi Boustead Hotels & Resorts, Jack Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif SMEB Asset Management Sdn Bhd (SAM), Zalina Osman.

Kawalan operasi Cherengin Hills Sdn Bhd ketika ini adalah di bawah Baker Tilly Malaysia, sebuah firma perakaunan dan penasihat perniagaan terkemuka setelah dilantik oleh SME Bank pada Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Rosthman berkata, Cherengin Convention & Spa Resorts akan melalui proses transformasi daripada segi pengurusan dan pengubahsuaian bagi memenuhi standard jenama Royale Bintang.

Katanya, fokus utama pembaharuan adalah menaik taraf bilik penginapan agar lebih moden dan memenuhi kehendak semasa pelanggan.

“Perubahan yang paling ketara ialah bilik penginapan yang akan diubah suai menjadi lebih trend terkini dan juga bersesuaian dengan kehendak semasa ini berdasarkan kepada standard yang amat ketat yang kami ada.

“Kami juga berhasrat untuk memperkenalkan Coffee Dreamer iaitu jenama kafe milik Royale Chulan di resort tersebut bagi menarik bukan sahaja tetamu hotel malah pengunjung luar,” katanya.

Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik bakal dijenamakan semula sebagai Royale Bintang Janda Baik

Cherengin Hills Convention & Spa Resort, Janda Baik bakal dijenamakan semula sebagai Royale Bintang Janda Baik

Sementara itu, Kumarakuru berkata, beliau yakin dengan keupayaan Boustead Hotels & Resorts sebagai rakan strategik yang berpengalaman dalam meningkatkan potensi resort berkenaan.

Katanya, resort berkenaan mempunyai potensi tinggi untuk berkembang sebagai destinasi pelancongan dan acara berdasarkan jumlah bilik, keluasan hartanah, fasiliti serta lokasinya yang strategik.

“Boustead Hotels & Resorts sememangnya rakan strategik terbaik ketika ini. Rekod prestasinya cukup baik dan syarikat itu juga mempunyai pemahaman yang sangat baik mengenai industri pelancongan,” katanya.

Scroll to Top