Polis menahan tiga individu termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel selepas menemukan pelbagai jenis dadah dalam pemeriksaan di Balai Polis Lumut, Selasa lalu.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata pemeriksaan yang dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira 8.30 pagi itu membawa kepada penemuan dadah jenis methamphetamine, heroin dan kanabis.
Menurut beliau, dua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 40-an yang berada di dalam lokap balai polis berkenaan turut ditahan untuk siasatan.
“Polis menemukan 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54 gram serta 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 110.37 gram.
“Polis turut menemukan 23 punjut plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31 gram,” katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata keseluruhan dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM18,534.

Susulan penemuan berkenaan, katanya, polis turut menahan seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia lingkungan 30-an yang bertugas di balai tersebut bagi membantu siasatan.
Artikel lain: Tak sempat melancong! 3 wanita Sabah ditahan, disyaki seludup dadah ke Indonesia
Beliau berkata hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada tiga individu terbabit positif methamphetamine, manakala anggota polis berkenaan didapati negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Kesemuanya direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” tambahnya lagi.
Sumber: Bernama

