Penularan video berkaitan kematian seekor anjing bernama Rocky di Taman Telok Gedong Indah, Klang pada 29 Julai lalu bukan sahaja mencetuskan kemarahan netizen, malah menyebabkan seorang pemuda mendakwa dirinya menjadi mangsa buli siber dan menerima ugutan bunuh.
Pemuda terbabit, Muhammad Shah Hizam, 24, berkata, dia tidak terbabit dalam kematian Rocky dan menafikan dakwaan bahawa dirinya bertindak menyeksa atau membunuh anjing berkenaan.
“Saya hidup dalam tekanan, terima banyak kecaman dan ugutan bunuh selepas kematian anjing Rocky. Saya tak sokong kekejaman terhadap haiwan, jauh sekali berniat mencederakan atau membunuhnya, malah tak terbabit dalam kematiannya,” katanya ketika ditemui pada sidang media #Justiceforshah di Bukit Jelutong di sini, hari ini.
Muhammad Shah menjelaskan, kehadirannya di lokasi kejadian pada malam berkenaan adalah bagi menjalankan tugas yang diamanahkan dan bukan untuk mencederakan mana-mana haiwan.
“Saya hadir pada malam itu bukan untuk mencederakan, jauh sekali untuk membunuh mana-mana haiwan,” katanya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung serta tiga peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, Mahmud Jumaat dan Akif Rusli.
Sementara itu, Muhammad Rafique memaklumkan anak guamnya berada di lokasi sebagai wakil penduduk selepas menerima jemputan secara bertulis daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Sama Gagah, Taman Teluk Gedung Indah, Klang untuk membantu operasi rasmi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Menurut peguam itu, kira-kira 50 penduduk yang terbabit dalam operasi berkenaan sudah diberikan taklimat penuh oleh anggota MBDK, termasuk kaedah membuat tangkapan anjing liar.
“Semua peserta seramai kira-kira 50 penduduk yang terbabit pada malam itu sudah diberi taklimat penuh oleh anggota MBDK sendiri yang turut menunjukkan cara membuat tangkapan anjing liar.
“Selain itu, alat penjerut leher (loop) yang digunakan pada operasi itu bukan milik peribadi Muhammad Shah, sebaliknya pihak MBDK yang bekalkan,”ujar beliau.

Muhammad Rafique mendakwa keadaan pada malam itu menjadi kelam-kabut apabila seorang wanita yang mengaku pemilik Rocky datang memeluk dan duduk di atas badan anjing berkenaan yang ketika itu masih hidup bagi menghalangnya daripada dibawa pergi.
“Berdasarkan apa yang dilihat Muhammad Shah, wanita itu tiba-tiba datang peluk dan duduk atas badan Rocky yang masih hidup ketika itu untuk menghalang anjing berkenaan dibawa pergi.
“Ketika itu berlaku tarik-menarik sedangkan alat loop masih berada di leher Rocky. Keadaan menjadi tegang dan sangat kelam-kabut,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan operasi pada malam itu berjaya menangkap 12 ekor anjing liar lain tanpa sebarang kecederaan, manakala hanya Rocky yang disahkan mati susulan insiden kekecohan berkenaan.
Muhammad Rafique berkata, penularan video separuh yang disunting turut menyebabkan Muhammad Shah menjadi mangsa buli siber ekstrem apabila wajah dan identitinya disebarkan secara meluas, selain dilabel sebagai pembunuh dan penyeksa haiwan.
“Tuduhan penghinaan dan ancaman memberi tekanan emosi amat berat kepada dirinya.
“Wajah dan identiti Muhammad Shah disebarkan secara meluas, dia dilabel pembunuh dan penyeksa haiwan, malah ada yang mendoakan kecelakaan kepada keluarganya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Rafique menyelar penyebaran sekeping gambar imbasan X-Ray yang tular, kononnya memaparkan tulang belakang Rocky patah akibat dipukul, sedangkan pihaknya dimaklumkan gambar berkenaan adalah palsu.
Artikel lain: “Saya mengaku Rocky tiada lesen, tapi saya rayu…”- Pemilik desak siasatan telus kematian haiwan kesayangan
Susulan perkembangan itu, pasukan peguam kini giat mendokumentasikan segala komen berbaur ugutan dan fitnah di media sosial bagi mendapatkan keadilan buat Muhammad Shah.
“Kita tidak teragak-agak memulakan tindakan undang-undang sivil, termasuk saman fitnah ke atas individu atau portal yang mencetuskan provokasi dan memburukkan nama Muhammad Shah,” tegasnya.
Sumber: BH Online (Hafidzul Hilmi Mohd Noor )


