WASHINGTON – Pemimpin Parti Demokrat di Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggesa siasatan dijalankan berhubung pelantikan semula Jensen Huang sebagai peneraju Nvidia, sambil menuduh Presiden Donald Trump dan pentadbirannya mengutamakan kepentingan peribadi berbanding keselamatan negara, lapor Anadolu Ajansi.ARTIKEL BERKAITAN: Nvidia tolak kempen mahu Jensen Huang kembali jadi CEOJensen Huang letak jawatan CEO NvidiaKetua Minoriti Senat Chuck Schumer dan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan Hakeem Jeffries mengkritik keputusan lembaga pengarah Nvidia untuk melantik semula Huang sebagai presiden, ketua pegawai eksekutif (CEO) dan anggota lembaga pengarah, selain menuntut penjelasan daripada syarikat itu serta pentadbiran Trump.Kritikan itu timbul selepas Trump mengakui beliau secara peribadi campur tangan untuk “meyakinkan” lembaga pengarah Nvidia untuk melantik semula Huang, sambil menyifatkan penglibatannya sebagai penting dalam keputusan berkenaan.”Saya percaya campur tangan saya amat penting,” kata Trump kepada CNBC ketika ditanya sama ada Huang akan kembali memegang jawatannya tanpa penglibatan beliau.Schumer berkata, peranan pentadbiran Trump dalam pelantikan semula itu menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan konflik kepentingan serta cara kerajaan menangani kebimbangan berkaitan keselamatan negara.”Tindakan tergesa-gesa pentadbiran Trump melantik semula Jensen Huang membuktikan perlunya Kongres mengambil tindakan,” kata beliau.Kontroversi itu tercetus hanya beberapa minggu sebelum Parti Demokrat mengambil alih kawalan kedua-dua dewan Kongres, dengan ramai pemimpin dan anggota yang baru dipilih berikrar untuk memperketat pengawasan terhadap cabang eksekutif kerajaan.Schumer menuduh Trump mengutamakan kepentingan kewangannya serta hubungan dengan tokoh perniagaan kaya berbanding keselamatan negara, sambil menegaskan Parti Demokrat akan menggunakan kuasa Kongres untuk menyiasat kemungkinan salah laku membabitkan pentadbiran itu, Huang dan eksekutif Nvidia yang lain.Jeffries turut mengecam keputusan lembaga pengarah dengan menyifatkan pelantikan semula Huang sebagai “tidak dapat dipertahankan, tidak bertanggungjawab dan sukar difahami”.Beliau berikrar bahawa Kongres akan meneruskan “siasatan segera, menyeluruh dan meluas” terhadap dakwaan salah laku perniagaan membabitkan Nvidia serta apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa secara rasuah oleh Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Jabatan Perdagangan AS.”Kami tidak akan membenarkan keselamatan negara AS dikorbankan oleh pentadbiran Trump demi keuntungan kewangan peribadi,” kata beliau.Sementara itu, Senator Demokrat Elizabeth Warren pada Isnin berkata, Huang dan Nvidia masih perlu memberikan penjelasan kepada Kongres susulan pelantikan semula itu, selain mempersoalkan peranan pentadbiran Trump dalam keputusan berkenaan.”Keputusan melulu untuk membawa kembali Jensen Huang ini tidak mengubah hakikat bahawa Huang dan Nvidia masih perlu memberikan penjelasan kepada Kongres,” kata beliau.Warren turut menggesa pentadbiran Trump menjelaskan bentuk sokongan yang diberikan oleh pegawai kanan kerajaan terhadap pelantikan semula Huang serta mengenal pasti pegawai yang terlibat.”Kepulangan Huang hanya meningkatkan keperluan mendesak untuk meluluskan rang undang-undang kawalan eksport yang mendapat sokongan kedua-dua parti, selain memastikan Nvidia tidak menjalankan kegiatan melobi bagi menggagalkan perundangan itu sehingga menjejaskan keselamatan negara,” kata beliau. – Bernama
Demokrat AS desak siasat pelantikan semula CEO Nvidia
Malay News | https://www.malay.news/demokrat-as-desak-siasat-pelantikan-semula-ceo-nvidia/